BERITA TERKINI   Majlis Media Malaysia diharap mampu berperanan aktif selepas AGM, pacu industri media negara - Teo | Wong Shu Qi dilantik sebagai pengarah pilihan raya DAP bagi PRU16 dan PRN Johor - Teo | Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 angkat reputasi Malaysia, tarik tumpuan kuasa besar terhadap peranan negara - Loke | ETS3 ke Johor Bahru tingkat akses mobiliti, pacu pelancongan Johor menjelang TMM2026 - Loke | 

Ringgit Dibuka Mendatar Berbanding Dolar AS

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

 KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama)  -- Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS selepas peniaga dan pelabur memberi reaksi terhadap langkah penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang tidak dijangka pada Khamis, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit hampir tidak berubah pada 4.1935/2050 berbanding dolar AS daripada 4.1935/1985 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan pelabur menilai kemungkinan cara Fed menetapkan kadar penanda arasnya pada Disember dalam data ekonomi yang terhad disebabkan penutupan kerajaan AS.

“Ketegangan perdagangan dilihat mereda antara AS dan China selepas mesyuarat antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan.

“Perbincangan itu membawa kepada konsesi perdagangan termasuk purata kadar tarif yang berkurangan untuk barangan China daripada 57 peratus kepada 47 peratus dan persetujuan China untuk meneruskan pembelian kacang soya dari AS,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata ringgit merosot sebanyak 0.20 peratus berbanding dolar AS dan ditutup pada 4.1960 pada Khamis, dengan kadar pertukaran dolar AS-ringgit ada kalanya melepasi paras 4.20 sepanjang sesi dagangan.

Beliau berkata ringgit dijangka terus diniagakan secara berhati-hati, dengan kadar pertukaran dolar AS-ringgit diunjurkan dalam julat antara 4.19 dan 4.20.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.7246/7323 daripada 2.7266/7300 semasa ditutup pada Khamis dan mengukuh berbanding pound kepada 5.5182/5334 daripada 5.5304/5370, bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 4.8527/8660 daripada 4.8716/8774 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2260/2354 daripada 3.2285/2326 semasa ditutup pada Khamis, bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9693/13.0129 daripada 12.9501/9723 sebelum ini.

Ia hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 252.0/252.8 daripada 252.0/252.4 dan stabil berbanding peso Filipina kepada 7.12/7.14 daripada 7.12/7.13 sebelum ini.

-- BERNAMA