BERITA TERKINI   Piala FA: JDT 3-0 Penang FC (agregat 5-1) | Piala FA: Kuching City FC 1-2 Terengganu FC (agregat 5-3) | 

Ringgit Mengukuh Selepas Malaysia Tamatkan Sidang Kemuncak ASEAN Dengan Sentimen Positif

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, disokong oleh sentimen positif apabila Malaysia menamatkan Sidang Kemuncak ASEAN dengan pencapaian yang memberangsangkan, di tengah-tengah keyakinan terhadap kerjasama perdagangan terkini dengan AS.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1935/1985 berbanding dolar AS daripada 4.2085/2135 ketika ditutup semalam.

Sentimen positif itu disokong oleh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang media pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bahawa pemeteraian perjanjian kerjasama ekonomi antara negara-negara ASEAN dan rakan strategik menggariskan peranan utama blok berkenaan dalam memperkukuh kerjasama serantau.

Beliau menambah walaupun kerjasama dengan Washington kekal penting, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 akan terus memperkukuh hubungan dengan pasaran lain bagi memelihara keamanan serantau dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan terhadap hubungan perdagangan antara AS dan China yang lebih baik turut menyokong mata wang pasaran pesat membangun termasuk ringgit.

“Unit tempatan itu melepasi paras RM4.20 bagi setiap dolar AS kepada RM4.1985 semasa sesi pagi tadi,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5845/5911 daripada 5.6158/6225, naik berbanding euro kepada 4.8884/8942 daripada 4.8974/9032, namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.7605/7640 daripada 2.7550/7582.

Unit tempatan itu juga menunjukkan trend yang kebanyakannya lebih kukuh berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2387/2431 daripada 3.2460/2502 pada penutup Isnin, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 252.4/252.9 daripada 253.1/253.6 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.09/7.10 daripada 7.14/7.16 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.9214/9424 daripada 12.8633/8837 ketika ditutup pada Isnin.

-- BERNAMA