BERITA TERKINI   Bakar suar: Sultan Selangor zahir rasa amat dukacita insiden babitkan penyokong Selangor FC - Istana Alam Shah | Bakar suar: Sultan Selangor mahu polis cari dalang, harus dikenakan hukuman maksimum jika bersalah - Istana Alam Shah | Polis temukan enam rangka manusia, termasuk lima sekeluarga, di rumah terbiar yang terbakar di Kangkar Pulai bulan lepas - Ketua Polis Johor | Pulau Pinang salur bantuan i-Sejahtera fasa 1/2026 mulai 7 Feb kepada 281,135 penerima, libatkan RM50.93 juta - Chow | Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | 

Perjanjian Perdagangan Malaysia-AS Rancakkan Ekosistem Digital Negara - Timb Menteri Digital

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Digital menjangkakan peningkatan kemasukan teknologi dan produk digital dari Amerika Syarikat (AS) ke pasaran tempatan susulan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS baru-baru ini. 

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata kemasukan teknologi dan produk digital ini akan merangkumi perkhidmatan awan, perisian keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), kandungan digital dan cip elektronik.

Justeru itu, katanya, ini dijangka dapat meningkatkan persaingan pasaran dan seterusnya menawarkan harga lebih kompetitif serta akses yang lebih luas kepada pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Secara keseluruhannya, perjanjian tersebut merupakan peluang untuk merancakkan ekosistem digital Malaysia dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara kita," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung implikasi pemeteraian perjanjian ART terhadap dasar dan kedaulatan perdagangan digital negara. 

Wilson menegaskan kerajaan akan memperhalusi potensi implikasi perjanjian ART terhadap pemain industri digital dan memastikan persaingan yang wujud tidak akan mengekang pembangunan syarikat teknologi tempatan. 

"Oleh itu, Kementerian Digital serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan memastikan program pemerkasaan industri dan ekosistem digital tempatan terus dipertingkatkan," katanya. 

-- BERNAMA