BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Kerajaan Teliti Kemasukan EV CBU, Tumpu Model Berkualiti - Johari

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti kemasukan kenderaan eletrik (EV) yang diimport sepenuhnya ke Malaysia bagi memastikan hanya model berkualiti memasuki pasaran tempatan, sekali gus melindungi ekosistem automotif negara. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kemasukan EV yang dimport sepenuhnya perlu memberi nilai tambah kepada industri automotif sedia ada memandangkan pemain industri tempatan berkemampuan untuk memenuhi segmen EV yang berkos rendah.

“Jadi sebab itu kita mahu tengok supaya EV yang datang ke negara kita ini adalah EV yang berkualiti. Bukan kerana harga yang murah atau tidak, tetapi sebenarnya kita juga perlu melindungi ekosistem kita,” katanya selepas melancarkan Proton e.MAS 7 PHEV di sini hari ini.

Johari berkata penekanan terhadap kualiti EV adalah penting bagi mengelakkan lambakan kenderaan yang boleh memberi kesan kepada segmen EV tempatan yang kini sedang berkembang.

Mengulas hala tuju sektor automotif, beliau berkata kerajaan mahu melihat lebih banyak pengeluar melaksanakan model pemasangan tempatan (CKD) dan meningkatkan pengeluaran komponen kereta secara tempatan.

Pada masa yang sama, keupayaan industri automotif untuk bersaing di peringkat antarabangsa memerlukan skala pengeluaran dan eksport yang mencukupi bagi menyokong pembangunan ekosistem secara jangka panjang, katanya.

“Sekarang ini kita menghasilkan kira-kira 800,000 kenderaan. Kalau kita tidak melepasi satu juta unit atau lebih, memang sukar untuk membina ekosistem itu,” katanya.

Berhubung kebimbangan industri mengenai pembangunan kenderaan hibrid, Johari berkata kerajaan terbuka untuk mendengar pandangan dan cadangan daripada pemain-pemain industri.

“Kita sedia mendengar. Siapa sahaja yang membawa teknologi termasuk hibrid, kita bersedia untuk mendengar dan meneliti supaya kita semua dapat membina ekosistem ini bersama-sama,” kata beliau.

-- BERNAMA