BERITA TERKINI   Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | Syarikat perlu menguruskan risiko mata wang secara giat melalui strategi lindung nilai dan perniagaan yang sesuai - Johari Ghani | SPRM akan siasat mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun diklasifikasikan tiada kes sebelum ini - Azam Baki | Penggunaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa PBT di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini - Hannah | Kerja SPRM adalah kembalikan wang rakyat yang diseleweng, MOF tentukan bagaimana wang tersebut disalurkan semula - Azam Baki | 

JS-SEZ: Johor, Singapura Buktikan Kejayaan Ekonomi Bukan Persaingan - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 28 Okt (Bernama) -- Johor dan Singapura telah membuktikan bahawa kejayaan ekonomi bukan persaingan, sebaliknya perkongsian strategik yang memberi impak kepada seluruh wilayah, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Onn Hafiz berkata perkara itu dibuktikan menerusi kerangka kolaborasi yang sedang dipacu di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), menyaksikan Johor dan Singapura memiliki kelebihan kompetitif saling melengkapi.

“Penyelarasan dua kekuatan ini akan menghasilkan keupayaan ekonomi lebih strategik dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook. 

Terdahulu, Onn Hafiz mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Negara Republik Singapura Chee Hong Tat bersama delegasi beliau di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana Johor Bahru.

Onn Hafiz berkata JS-SEZ dijangka mampu mempercepat kelulusan pelaburan, mengurangkan halangan perdagangan dan memperluas akses kepada pasaran global, seterusnya mewujudkan lebih banyak pekerjaan premium untuk Bangsa Johor dan rakyat Singapura.

Kerajaan negeri amat menghargai komitmen serta keterbukaan pihak Singapura untuk terus memperkukuh kerjasama rentas sempadan demi manfaat bersama, katanya.

"Semoga hubungan istimewa ini akan terus diperkasa demi sebuah masa depan yang lebih makmur, berdaya tahan dan sejahtera untuk Johor dan Singapura. Insya-Allah," katanya. 

-- BERNAMA