BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Lawatan Trump, Perjanjian Perdagangan Dijangka Pacu Pertumbuhan KDNK Malaysia - Penganalisis

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perjanjian yang dimeterai di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad lepas berpotensi meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sebanyak 0.5 hingga 0.7 mata peratus setiap tahun sehingga 2030, menurut penganalisis.

Perjanjian berkenaan ditandatangani sewaktu lawatan Presiden AS, Donald Trump ke negara ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN serta Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pendekatan “deal-blitz” memudahkan kerjasama perdagangan yang lebih pantas, pelarasan tarif serta kerjasama baharu dalam bidang mineral kritikal dan rantaian bekalan.

Beliau berkata, perjanjian perdagangan itu turut mengukuhkan kedudukan strategik Malaysia sebagai hab neutral bagi perdagangan dan pelaburan sekali gus memberikan fleksibiliti yang lebih besar dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh perlindungan perdagangan.

Mengulas mengenai kesan terhadap ekonomi Malaysia berhubung struktur tarif yang dikekalkan serta pengurangan tarif bagi 1,711 produk eksport Malaysia ke AS, beliau berkata langkah itu akan meningkatkan daya saing eksport negara khususnya dalam sektor pembuatan dan barangan elektrik.

“Hasilnya, perdagangan di antara Malaysia dengan AS dijangka meningkat sebanyak 15 hingga 18 peratus, mencecah kira-kira US$110 bilion (US$1=RM4.2) menjelang 2030 (anggaran pemodelan).

“Seiring itu, peningkatan keyakinan pelabur juga dijangka menarik masuk pelaburan langsung asing tambahan sebanyak US$12 bilion hingga US$15 bilion dalam beberapa tahun akan datang (anggaran pemodelan),” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, berhubung pengecualian tarif yang merangkumi lebih daripada 12 peratus eksport Malaysia ke AS, Mohd Sedek berkata langkah itu akan meningkatkan pendapatan eksport serta menambah daya saing industri.

Katanya, ia juga mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 peluang pekerjaan baharu terutamanya dalam kluster agro-teknologi dan pembuatan bernilai tinggi di Pulau Pinang.

Langkah itu juga akan merangsang lebih banyak penyelidikan dan inovasi sekali gus meningkatkan pendapatan syarikat yang berkaitan dengan eksport selain menyediakan platform kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk menembusi pasaran Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), tambahnya.

Semalam, Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memeterai ART yang membolehkan sehingga 1,711 produk Malaysia termasuk minyak sawit, getah dan koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa dieksport ke AS pada kadar tarif lebih rendah daripada 19 peratus.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata barangan yang dikecualikan tarif itu bernilai US$5.2 bilion (RM21.96 bilion), mewakili kira-kira 12 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia.

AS juga komited untuk mengekalkan tarif timbal balas pada kadar 19 peratus seperti yang diperuntukkan dalam Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025, yang dipinda bagi barangan yang berasal dari Malaysia.

Mengenai prospek, Mohd Sedek berkata ekonomi Malaysia dijangka kekal positif pada 2026 dengan pertumbuhan antara 4.3 hingga 4.5 peratus, disokong oleh eksport yang lebih kukuh (didorong oleh perjanjian Malaysia-AS), pertumbuhan sektor pelancongan serta perbelanjaan kerajaan yang stabil.

“Bagaimanapun, risiko utama masih wujud daripada ketidaktentuan global, terutamanya ketegangan AS-China, tetapi kami juga melihat potensi kenaikan,” katanya.

-- BERNAMA