BERITA TERKINI   Konflik Asia Barat: Kuota BUDI95 diselaras sementara kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter bermula 1 April — PM Anwar | Had siling subsidi bersasar petrol RON95 bagi e-hailing, pekerja gig dikekalkan sehingga 800 liter - PM Anwar | Konflik Asia Barat: Sabah, Sarawak akan terus nikmati diesel subsidi pada RM2.15 seliter walaupun harga melambung naik- PM Anwar | Malaysia kekal sebagai pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif meskipun dunia berdepan kemelut dan peperangan - PM Anwar | PM Anwar harap rakyat faham pengurangan kuota subsidi BUDI RON95 dibuat teliti dan berhemah | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Tidak Banyak Berubah Minggu Depan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tidak berubah dengan sedikit cenderung menurun minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh.

Beliau berkata sehubungan itu, harga dijangka bergerak antara paras RM4,300 hingga RM4,550 satu tan.

“Bagi permintaan fizikal, seperti biasa, ia akan datang dari China, India, Pakistan, negara-negara Timur Tengah dan beberapa pembeli dari Kesatuan Eropah,” kata Teh kepada Bernama.

Pada asas mingguan, kontrak bulan semerta baharu November 2025 susut RM57 kepada RM4,382 satu tan, manakala Disember 2025 rendah RM73 kepada RM4,403 satu tan dan Januari 2026 turun RM91 kepada RM4,422 satu tan.

Kontrak Februari 2026 merosot RM92 kepada RM4,435 satu tan, Mac 2026 turun RM86 kepada RM4,432 satu tan, manakala April 2026 berkurangan RM76 kepada RM4,420 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 361,379 lot daripada 510,118 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 256,714 kontrak daripada 289,323 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk November Selatan kekal tidak berubah pada RM4,440 satu tan.

-- BERNAMA