Bursa Malaysia Meningkat Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih tinggi seiring dengan bursa serantau berikutan mengambil isyarat daripada prestasi semalaman di Wall Street yang mengukuh.
Belian berterusan dalam saham wajaran tinggi yang diterajui oleh Petronas Chemicals, MISC, Tenaga Nasional dan sektor kewangan telah meningkatkan indeks barometer.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.53 mata kepada 1,611.53 berbanding 1,608.0 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.97 mata kepada 1,607.03 dan bergerak antara 1,607.03 dan 1,612.77 semasa sesi dagangan pagi.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 511 kepada 374 manakala 490 kaunter tidak berubah, 1,321 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.82 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen pasaran semakin baik selepas White House mengesahkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan bertemu Presiden China Xi Jinping Khamis depan di Korea Selatan, sekali gus meredakan ketegangan AS-China yang menjejaskan pasaran sebelum ini.
"Berikutan prestasi positif di Wall Street dalam tempoh semalaman, kami menjangka indeks KLCI akan mengikut jejak yang sama dan diniagakan lebih kukuh, disokong oleh minat belian dalam sektor teknologi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Antara saham wajaran tinggi menyaksikan Petronas Chemicals naik 16 sen kepada RM4.12, MISC melonjak 22 sen kepada RM7.73, dan Tenaga Nasional meningkat lapan sen kepada RM13.20. Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM4.21 dan RM8.33.
Bagi saham aktif, Perak Transit dan Tanco masing-masing meningkat setengah sen kepada 33.5 sen dan 88.5 sen manakala Zetrix AI dan Pharmaniaga rendah satu sen kepada 84.5 sen dan 25.5 sen. TWL tidak berubah pada 2.5 sen.
Antara saham paling untung, Fraser & Neave melonjak 46 sen kepada RM28.92, Malaysian Pacific meningkat 22 sen kepada RM7.73, UWC naik 14 sen kepada RM4.09, dan MI Technovation menokok 13 sen kepada RM2.98.
Saham paling rugi pula antaranya membabitkan United Plantations yang susut 42 sen kepada RM24 manakala Ayer Holdings rendah 38 sen kepada RM7.02, Telekom Malaysia berkurangan 19 sen kepada RM7.22 dan Dutch Lady menguncup 16 sen kepada RM26.28.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 27.62 mata kepada 12,058.65, Indeks FBMT 100 naik 25.68 mata kepada 11,792.61, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 32.47 mata kepada 12,146.72.
Indeks FBM ACE naik 19.31 mata kepada 5,264.71 dan Indeks FBM 70 menambah 36.85 mata kepada 17,162.67.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 28.26 mata kepada 18,173.52, dan Indeks Perladangan menambah 7.86 mata kepada 7,925.61.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula naik 1.01 mata kepada 172.30 dan Indeks Tenaga menokok 5.08 mata kepada 790.82.
-- BERNAMA