BERITA TERKINI   ISF Group Bhd mula didagangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 50 sen, premium 17 sen daripada harga IPO 33 sen, dengan 50.14 juta saham bertukar tangan | 

Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer Akan Berkunjung Ke Malaysia, Jepun Dan Korea Selatan

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Jamieson Greer akan berkunjung ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan bersama Presiden AS Donald J. Trump dan Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent.

Semasa di Malaysia, Greer akan bertemu dengan rakan sejawatnya dari China untuk membincangkan berkaitan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Greer juga akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur,” kata Pejabat Media Wakil Perdagangan AS dalam satu kenyataan.

Di Jepun, Greer akan menyertai lawatan rasmi Presiden AS Donald Trump ke Tokyo, manakala di Korea Selatan, beliau akan menyertai Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) Korea Selatan 2025 di Gyeongju.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berkumpul untuk membincangkan keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan".

-- BERNAMA