BERITA TERKINI   Kes pijak al-Quran: Penuntut sebuah universiti akan didakwa esok di mahkamah - AGC | Setakat 28 Feb 2026, hampir 14.8 juta daripada 16.5 juta individu layak nikmati RON95 pada kadar RM1.99 seliter, dengan nilai jualan RM12.8 bilion atau penggunaan 6.46 bilion liter - Amir Hamzah | Setakat 28 Februari, jumlah Rakan Niaga SARA meningkat kepada 11,300 kedai di seluruh negara berbanding hanya 700 kedai pada 2024 - Amir Hamzah | Setakat 1 Mac 2026, nilai ringgit terus meningkat kepada RM3.89 berbanding dolar AS, cerminkan asas domestik kukuh - Amir Hamzah | Pindaan had tempoh jawatan PM pastikan kepimpinan negara sentiasa diperbaharui dengan tertib dan kestabilan - PM Anwar | 

IOI Corp Berisiko Dikeluarkan Daripada Senarai 30 Saham Teratas FBM KLCI - MBSB Investment

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- IOI Corporation Bhd berkemungkinan berisiko dikeluarkan daripada senarai 30 saham utama FTSE Bursa Malaysia (FBM) KLCI berikutan kegagalannya melepasi ujian kecairan selama tiga bulan, kata MBSB Investment Bank Bhd.

“Kemungkinan besar senarai 30 saham mewah itu mengekalkan status quo bagi semakan Disember 2025 walaupun analisis kami menunjukkan IOI Corp berisiko dikeluarkan susulan kegagalan dalam ujian kecairan selama tiga bulan.

“Saham itu mungkin dikeluarkan jika masih tidak dapat melepasi ujian sama pada November 2025 dan kedudukannya berpotensi besar diambil alih oleh Westports Holdings Bhd,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan menjelang tarikh akhir penilaian pada akhir bulan depan bagi semakan separuh tahun FBM KLCI yang dijadualkan pada Disember.

Menurut MBSB Investment, berdasarkan penilaiannya, IOI Corp juga merupakan satu-satunya konstituen indeks yang tidak memenuhi syarat kecairan ditetapkan masing-masing bagi Jun (0.038 peratus), Julai (0.031 peratus) dan Ogos (0.036 peratus).

“Peraturan asas FTSE telah mensyaratkan saham dalam indeks perlu lulus sekurang-kurangnya lapan daripada 12 bulan dengan perolehan median bulanan sekurang-kurangnya 0.040 peratus.

“Dalam pada itu, tiada konstituen sedia ada yang telah meningkat atau turun ke paras nilai ambang berdasarkan permodalan pasaran pada masa ini,” katanya.

MBSB Investment berkata saham itu akan disenaraikan dalam semakan indeks secara berkala jika ia naik ke kedudukan ke-25 atau lebih tinggi manakala dikeluarkan jika jatuh ke kedudukan ke-36 atau lebih rendah.

“Menerusi jangkaan kami membabitkan 40 saham utama setakat semalam, kesemuanya memenuhi keperluan pegangan bebas melebihi 15 peratus.

“Selain daripada IOI Corp, tiga saham bukan konstituen juga gagal menepati ketetapan asas iaitu Hong Leong Financial Group, KLCCP Stapled Group dan Fraser & Neave Holdings,” it said. 

Walaupun senarai simpanan ini sebahagiannya kekal sama, bank pelaburan itu menjangkakan Genting Malaysia akan disenaraikan dalam semakan akan datang bagi menggantikan IOI Properties Group yang tertakluk kepada maklumat lanjut.

-- BERNAMA