BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

Ringgit Dibuka Mengukuh Berbanding Dolar AS, Mata Wang Utama Dan Negara ASEAN

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Ringgit dibuka meningkat sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu di tengah-tengah senario penutupan kerajaan negara maju itu yang berlanjutan selain ketidaktentuan berkaitan pertemuan Presiden Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping pada minggu depan, kata penganalisis.

Pada jam 8.02 pagi ini, ringgit meningkat sedikit kepada 4.2235/2345 berbanding dolar AS daripada 4.2280/2315 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penutupan kerajaan AS telah pun memasuki minggu ketiga tanpa sebarang petanda jelas kebuntuan itu akan selesai dalam masa terdekat ini.

“Petunjuk terkini daripada Trump mengenai pertemuannya dengan Xi minggu depan juga masih tidak pasti yang hanya menunjukkan ketegangan perdagangan mungkin berterusan.

“Selain itu, ketiadaan data ekonomi AS akibat penutupan kerajaan juga hanya memburukkan lagi ketidaktentuan ekonomi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan ringgit diniagakan berhati-hati manakala nilai dolar-ringgit dijangka berada dalam julat RM4.22 hingga RM4.23 hari ini.

Pada masa sama, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama dan mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding pound British kepada 5.6447/6594 daripada 5.6592/6639, naik berbanding euro kepada 4.8993/9120 daripada 4.9134/9174 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.7817/7892 daripada 2.7851/7875.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2523/2613 daripada 3.2598/2628 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8413/8806 daripada 12.9048/9218 sebelumnya.

Ringgit mencatat kenaikan kecil berbanding rupiah Indonesia kepada 254.6/255.4 daripada 254.8/255.2 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.25/7.27 daripada 7.26/7.27.

-- BERNAMA