BERITA TERKINI   MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun bentang Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion | Sukan SEA 2025: Gimnas negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam menang pingat emas acara melombol lelaki | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Berikutan Niaga Hadapan Serantau Stabil

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini, menjejaki kenaikan dalam niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan terhadap bekalan getah asli (NR) berikutan musim hujan yang berterusan di negara pengeluar utama, menurut seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah meningkat di semua bursa utama Asia pada Selasa, dirangsang oleh permintaan yang stabil daripada industri hiliran.

Peniaga itu berkata sentimen pasaran semakin bertambah baik dipacu oleh data ekonomi yang positif dari China dan tanda-tanda ketegangan perdagangan yang mereda antara Amerika Syarikat (AS) dan China, di samping prestasi jualan automotif global yang menggalakkan.

Menurut laporan, setakat tahun ini pasaran kenderaan global telah meningkat lima peratus dengan jumlah jualan mencecah 67 juta unit berbanding tempoh yang sama pada 2024.

“Bagaimanapun, momentum kenaikan sebahagiannya dihadkan oleh petunjuk yang lemah daripada harga penanda aras minyak mentah dan ringgit pula kekal tidak berubah berbanding dolar AS sejak minggu lepas,” katanya kepada Bernama.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) menokok 7.50 sen kepada 744.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut setengah sen kepada 568.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA