BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susutĀ kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Jumaat, diheret turun oleh pasaran niaga hadapan getah serantau yang lebih lemah dan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Beliau memberitahu Bernama, sentimen pasaran dilemahkan oleh jangkaan bahawa bekalan dari Asia Tenggara bertambah, ketidaktentuan global yang meningkat khususnya ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) - China dan potensi gangguan bekalan cip untuk pengeluar automotif.

Penurunan seterusnya dapat dihadkan apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meningkatkan unjuran bagi pertumbuhan di Asia.

“Niaga hadapan getah Jepun turun pada Jumaat dan dijangka mencatat penurunan mingguan, tertekan oleh jangkaan peningkatan bekalan dari Asia Tenggara dan pengukuhan yen.

“Harga minyak turun sedikit pada dagangan awal Jumaat dan menuju kepada kerugian mingguan berikutan ketidaktentuan terhadap bekalan tenaga global selepas Presiden AS Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin bersetuju bertemu di Hungary bagi membincangkan usaha menamatkan perang di Ukraine,” kata peniaga itu.

Pada 5.39 petang, harga minyak mentah Brent susut 1.03 peratus kepada US$60.47 setong.

Lembaga Getah Malaysia pada 3 petang melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 11 sen kepada 736.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun satu sen kepada 569 sen sekilogram.

-- BERNAMA