Kaukus PKS ASEAN Dorong Kerjasama Perniagaan Serantau - Ramanan
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Kaukus PKS ASEAN adalah platform strategik yang menghimpunkan wakil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seluruh ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama rentas sempadan, memperjuangkan pembangunan PKS dan menambah baik suara kolektif komuniti perniagaan serantau.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata kaukus yang dilancarkan hari ini sempena Forum PKS ASEAN 2025 bukan sahaja akan menjadi tempat pertemuan malah bertindak sebagai pemacu bagi dialog dasar, perkongsian pengetahuan dan tindakan bersepadu.
Beliau berkata kaukus berkenaan akan memperkasakan PKS ASEAN untuk berkembang maju dalam dunia yang dipengaruhi oleh pendigitalan, kemampanan dan perubahan dinamik global.
“Dengan menghimpunkan ASEAN, persatuan PKS dari seluruh rantau ASEAN akan bertindak sebagai platform strategik dan bersama untuk menyuarakan cabaran bersama, bertukar-tukar amalan terbaik serta bersama-sama merangka hala tuju dasar yang akan membentuk masa depan landskap ekonomi serantau,” katanya semasa merasmikan Forum PKS ASEAN 2025 di sini hari ini.
Ramanan berkata dalam keadaan ketidaktentuan global pada masa ini seperti ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, perang perdagangan yang berlarutan dan gangguan rantaian bekalan, PKS perlu berfikir dan bertindak dengan berani untuk memanfaatkan peluang besar daripada rangkaian perjanjian perdagangan bebas yang semakin berkembang sama ada dalam kalangan negara ASEAN dan rakan strategik global.
“Paling utama adalah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) transformatif yang menjadi pencetus perubahan dalam perdagangan serantau.
"Perjanjian itu bukan sekadar laluan akses ke pasaran baharu. Ia adalah gerbang untuk mempercepat pertumbuhan, inovasi dan kerjasama rentas sempadan yang dinamik serta boleh meningkatkan PKS serantau untuk menjadi pemain global," katanya.
Ramanan berkata bagi merebut peluang berkenaan, PKS perlu berinovasi dan menyesuaikan dengan pendigitalan memandangkan ia adalah ‘pasport’ ke pasaran global dan bagi meneraju dan berkembang maju dalam transformasi ekonomi ASEAN.
Mengulas mengenai Forum PKS ASEAN 2025, Ramanan berkata forum itu menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan usahawan dari seluruh rantau ini yang berperanan sebagai individu utama yang merancang dan membentuk pertumbuhan, perintis inovasi dan pendaya kepada kemakmuran mampan di ASEAN.
“Walaupun perniagaan anda kecil pada masa ini, masih ada peluang untuk berkembang dan berjaya. Melalui jaringan hubungan, perhubungan yang kita bina dalam sesi ini akan menjadi laluan sebenar menuju kejayaan,” katanya.
-- BERNAMA