Bursa Malaysia Teruskan Momentum Meningkat Pada Akhir Dagangan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya apabila ditutup lebih tinggi hari ini, seiring prestasi memberangsangkan pasaran serantau susulan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah di pasaran meluas.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.09 mata atau  0.01 peratus kepada 1,611.55 daripada 1,611.46 pada penutup, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 3.61 mata kepada 1,615.07 dan bergerak dalam julat 1,611.12 hingga 1,619.58 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 726 berbanding 426 kaunter manakala 472 lain tidak berubah, sebanyak 1,048 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.26 bilion unit bernilai RM3.71 bilion berbanding 3.66 bilion unit bernilai RM3.78 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi pasaran tempatan yang ditutup tinggi hari ini, juga seiring pasaran serantau susulan kemunculan aktiviti belian pada harga rendah selepas penyusutan pasaran baru-baru ini.

“FBM KLCI kekal dalam wilayah positif, didorong oleh kenyataan yang cenderung kepada penurunan kadar faedah oleh Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) Jerome Powell. 

“Sentimen pelabur turut dipacu oleh jaminan Presiden Donald Trump mengenai “hubungan adil” dengan China, sekali gus meredakan kebimbangan mengenai pertikaian perdagangan semasa.

“Minat belian kebanyakannya membabitkan saham-saham bermodal kecil dan sederhana yang hanya membuktikan pasaran meluas yang aktif,” katanya kepada Bernama.

Thong juga menjangkakan indeks petunjuk utama itu kekal bergerak dalam julat 1,600 hingga 1,625 dalam tempoh masa terdekat ketika pelabur menunggu kehadiran pemangkin baharu daripada data ekonomi global serta petunjuk-petunjuk dasar.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata reaksi pasaran terhadap Belanjawan 2026 secara amnya adalah positif yang dapat dilihat menerusi paparan prestasi lebih kukuh di seluruh indeks.

“Kami menjangkakan penyertaan sektor yang lebih meluas berikutan sentimen pasaran yang kekal stabil dan sikap berhati-hati pelabur yang kebanyakannya dipengaruhi oleh ketidaktentuan luaran jangka pendek dan bukannya di peringkat domestik,” katanya.

Di pasaran tempatan misalnya, saham wajaran tinggi seperti IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM8.07, Kumpulan CIMB Group dan Public Bank masing-masing susut satu sen kepada RM7.34 dan RM4.20 manakala Tenaga Nasional rugi dua sen kepada RM13.18 dan Maybank tidak berubah pada RM9.92.

Bagi saham paling aktif, Velesto Energy naik satu sen kepada 26.5 sen, Genting Malaysia menokok dua sen kepada RM2.34, Dagang NeXchange meraih 3.5 sen kepada 29 sen manakala Tanco Holdings dan Zetrix AI untung setengah sen kepada 86.5 sen dan 84.5 sen.

Selain itu, saham paling untung didahului oleh Nestle yang melonjak 60 sen kepada RM102.70, Genting Bhd menambah 39 sen kepada RM3.40, Petronas Dagangan meningkat 30 sen kepada RM23.00, Spritzer naik 29 sen kepada RM2.40 dan Lim Seong Hai Capital menokok 21 sen kepada RM2.37.

Sebaliknya, saham paling rugi menyaksikan United Plantations merosot 20 sen kepada RM23.24, Malaysian Pacific Industries kehilangan 20 sen kepada RM28.84, Unisem turun 17 sen kepada RM3.42, PPB Group susut 16 sen kepada RM10.90 manakala Uchi Technologies berkurangan 14 sen kepada RM3.02.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meraih 30.21 mata kepada 12,067.24, Indeks FBMT 100 menokok 21.78 mata kepada 11,789.86, Indeks FBM Emas Syariah naik 30.65 mata kepada 12,142.14, Indeks FBM 70 melonjak 123.13 mata kepada 17,146.15 manakala Indeks FBM ACE meningkat 151.94 mata kepada 5,345.37.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik sebanyak 17.21 mata kepada 18,195.20, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.37 mata kepada 173.94, Indeks Tenaga meningkat 10.19 mata kepada 800.03 manakala Indeks Perladangan naik 16.97 mata kepada 7,846.35.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.27 bilion unit bernilai RM3.32 bilion daripada 2.35 bilion unit bernilai RM3.48 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 1.45 bilion unit bernilai RM185.30 juta berbanding 752.78 juta unit bernilai RM87.72 juta, semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 538.34 juta unit bernilai RM187.88 juta daripada 549.25 juta unit bernilai RM219.25 juta sebelum ini.

Di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 541.99 juta saham manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (337.13 juta), pembinaan (93.64 juta), teknologi (391.71 juta), perkhidmatan kewangan (93.90 juta), hartanah (212.12 juta), perladangan (36.44 juta), amanah pelaburan hartanah (24.90 juta), dana tertutup (17,800), tenaga (229.19 juta), penjagaan kesihatan (185.57 juta), telekomunikasi dan media (48.34 juta), pengangkutan dan logistik (27.36 juta), utiliti (48.49 juta) serta amanah perniagaan (2,600).

-- BERNAMA