BERITA TERKINI   Cadangan Bekerja Dari Rumah buat masa ini tidak libatkan sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan - Fahmi | Tiada paksaan untuk sektor swasta laksanakan BDR -- Fahmi | Sambutan Hari TVET Negara diadakan 5 hingga 7 Jun 2026 di Dataran Putrajaya - Fahmi | PM Anwar ulangi seruan agar rakyat berbelanja secara berhemah meraikan Syawal  | Kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada kebankrapan secara 'fast track' sempena Aidilfitri, - PM Anwar | 

SAIC Motor Rancang Mulakan Pemasangan Tempatan Kenderaan MG Pada 2026

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- SAIC Motor Malaysia mengumumkan pelan untuk memulakan pemasangan tempatan bagi kenderaan jenama MG pada separuh pertama 2026.

“Ini merupakan satu pencapaian penting dalam membawa produk MG lebih dekat kepada pelanggan tempatan sambil mengukuhkan pertumbuhan serantau jenama itu. Kami akan memulakan pemasangan tempatan melalui kerjasama dengan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka.

"Kemudahan di Melaka ini akan berupaya memasang kenderaan tenaga hijau termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV) serta model enjin pembakaran dalaman (ICE) di bawah satu bumbung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Strategi itu memberi tumpuan kepada tiga keutamaan iaitu keterjangkauan, penghantaran yang lebih pantas dan tahap penyetempatan yang lebih kukuh, sejajar dengan visi SAIC Motor terhadap pelan hala tuju kenderaan tenaga hijau yang dibentangkan di Auto Shanghai 2025, katanya.

Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia Emory QiFeng berkata pemasangan tempatan akan menjadi detik penting yang membawa kumpulan itu lebih dekat kepada pelanggan sambil memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab serantau untuk MG.

“Perjalanan luar biasa ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada pengedar, rakan kongsi perniagaan, media dan rakan sekerja kami.

"Pengumuman hari ini hanyalah permulaan. Bersama rakan kongsi dan bakat tempatan, kami sedang membina masa depan yang dipacu oleh inovasi, kemampanan dan peluang yang akan menggerakkan Malaysia ke hadapan bersama MG,” tambahnya.

Sejak dilancarkan lebih setahun lalu, SAIC Motor Malaysia telah mengembangkan rangkaiannya kepada 26 Pengedar Sah MG di seluruh negara, termasuk tiga bilik pameran di Sarawak dengan tiga lagi bakal dibuka tidak lama lagi.

-- BERNAMA