BERITA TERKINI   Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naik kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Jadikan Amalan Kawal Selia Baik Pemacu Integrasi ASEAN -- Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mencadangkan agar amalan kawal selia yang baik (GRP) dijadikan sebagai pemacu utama integrasi ASEAN untuk mengukuhkan daya saing serta tarikan pelaburan blok itu.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ASEAN harus menggunakan GRP untuk mengurangkan halangan bukan tarif, menyelaraskan piawaian dan menjadikan rantau ini sebagai pasaran yang benar-benar menarik dan mudah untuk menjalankan perdagangan dan pelaburan.

“Keutamaan strategik kedua ialah untuk menerapkan GRP dalam agenda masa depan ASEAN dengan menyepadukan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus berasaskan bukti merentasi semua tonggak Wawasan Komuniti ASEAN 2045,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan perasmian pada Mesyuarat Ke-10 ASEAN- Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) GRP Network, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu yang dihadiri para pegawai kanan dan penggubal dasar seluruh anggota ASEAN dan OECD, dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Tengku Zafrul juga mencadangkan agar GRP dijadikan sebagai amalan harian untuk memastikan setiap peraturan yang dibuat, disemak atau dimansuhkan memberi manfaat kepada rakyat dan mengekalkan produktiviti.

Berkongsi kemajuan Malaysia, beliau berkata, program pembaharuan birokrasi Malaysia yang berterusan juga membantu menyumbang meningkatkan prestasi negara.

“Pada masa ini, terdapat lebih 1,000 projek penambahbaikan kawal selia di seluruh negara, secara kolektif menjana RM1.1 bilion penjimatan kos pematuhan setakat September 2025,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang baharu, diwartakan awal tahun ini.

“Ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia dengan mengurangkan birokrasi dan kerenah birokrasi,” katanya.

Sementara itu MPC menerusi satu kenyataan berasingan sempena acara itu berkata sepanjang dekad lalu, ASEAN-OECD GRP Network telah berkembang daripada dialog dasar menjadi platform praktikal untuk pembaharuan dan kerjasama, mengubah pengetahuan menjadi satu tindakan.

“Rangkaian itu telah menyokong inisiatif untuk memudahkan pendaftaran perniagaan, meningkatkan tadbir urus digital, mengukuhkan penyelarasan kawal selia, dan menghubungkan syarikat kecil dan sederhana (PKS) kepada rantaian nilai global.

“Tumpuan kepada tadbir urus yang lebih baik ini telah membuahkan hasil yang ketara, dengan produktiviti buruh ASEAN berkembang pada kadar tahunan kompaun kira-kira 2.45 peratus dari 2014 hingga 2023, menggambarkan bagaimana kecekapan kawal selia dan inovasi memacu daya saing serantau,” katanya.

-- BERNAMA