Belajawan 2026 Dijangka Beri Impak Positif Kepada Pasaran Ekuiti - CIMB Securites
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Pasaran ekuiti Malaysia dijangka menerima kesan positif daripada Belanjawan 2026, memandangkan ketiadaan kejutan negatif atau langkah cukai baharu yang boleh meningkatkan kos perniagaan, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
CIMB Securities dalam nota penyelidikan dikeluarkan hari ini berkata positif utama daripada Belanjawan 2026 termasuk pemberian tunai RM100 sekali sahaja untuk semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas pada Februari 2026 dan lanjutan pengecualian cukai ke atas sumber pendapatan dari luar negara sehingga 2030.
Dari sudut negatif pula, ia berkata duti eksais ke atas alkohol dan produk tembakau akan dinaikkan.
"Pada masa sama, duti setem terhadap pemindahan harta membabitkan bukan warganegara dan syarikat asing juga akan meningkat," katanya.
Secara keseluruhan, CIMB Securities melihat Belanjawan 2026 sebagai positif untuk sektor pembinaan, teknologi dan pengguna, manakala mengekalkan unjuran KLCI pada 1,605 mata.
"Antara sektor 'overweight' adalah sektor pembinaan dan pengguna, ia dijangka mendapat manfaat paling banyak, manakala sektor hartanah, pembuatan arak dan tembakau mungkin akan menerima kesan yang sedikit," katanya,
-- BERNAMA