BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

PNB Sambut Baik Belanjawan 2026 Ke Arah Malaysia Lebih Saksama

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 mendukung visi ke arah Malaysia yang lebih saksama dan bersedia menghadapi masa depan dengan meningkatkan taraf hidup rakyat, memacu reformasi ekonomi berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, menurut Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Menurutnya PNB menyokong semua inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan itu khususnya reformasi struktur yang berterusan melalui penyeragaman subsidi bersasar, dengan penjimatan yang akan dilaburkan semula bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan lebih besar serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“PNB amat menghargai peruntukan berterusan bagi program Celik MADANI yang bertujuan meningkatkan literasi kewangan dan menggalakkan amalan pelaburan bertanggungjawab dalam kalangan golongan muda Malaysia.

“PNB juga menyambut baik peningkatan saiz dana unit amanah, Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) dan Amanah Saham Malaysia (ASM), masing-masing sebanyak 5 bilion unit, menjadikan jumlah keseluruhan 10 bilion unit,” kata syarikat pengurusan dana itu dalam kenyataan hari ini.

Katanya langkah ini akan membolehkan semua rakyat mengambil langkah bermakna ke arah menjamin masa depan kewangan mereka serta membuka potensi lebih besar untuk penciptaan kekayaan jangka panjang.

PNB berkata penambahan saiz dana ini mengukuhkan komitmen PNB terhadap keterangkuman kewangan sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, termasuk pelabur baharu dan kali pertama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk menyertai dan mendapat manfaat daripada produk pelaburan ASNB.

-- BERNAMA