Pemaju Hartanah Gesa Institusi Kewangan Sokong Inisiatif Sewa Untuk Beli
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pemaju hartanah berharap gesaan kerajaan kepada institusi kewangan supaya menyokong inisiatif sewa untuk beli (RTO) akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia Datuk Ho Hon Sang berkata ia memberi manfaat kepada kumpulan berpendapatan sederhana, yang tidak layak memiliki rumah mampu milik tetapi tidak mampu membeli rumah pada harga yang tinggi.
“Kami mengalu-alukan peruntukan berterusan untuk pembeli rumah kali pertama, seperti pengecualian duti setem bagi memorandum pemindahan dan perjanjian pinjaman bagi rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga Disember 2027.
“Tempoh lanjutan dua tahun ini akan memberi memberi manfaat kepada ramai pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
REHDA Malaysia berkata langkah memperluaskan Skim Jaminan Kredit Perumahan kepada RM20 bilion juga akan memacu pasaran perumahan dan dijangka memberi manfaat kepada 80,000 bakal pemilik rumah.
Menurut kenyataan itu juga, persatuan perumahan menunggu penjelasan mengenai pengecualian cukai yang diberikan kepada pemaju apabila mengubah suai dan menukar bangunan komersial kepada perumahan.
“Ia akan mengurangkan tekanan kewangan kepada pemaju yang melaksanakan tugas ini,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pegawai Bertanggungjawab dan Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise Bhd Hafizuddin Sulaiman berkata usaha untuk meningkatkan kebolehcapaian pembiayaan rumah dan memperluaskan bekalan perumahan menerusi RTO dan bina kemudian jual akan membantu memberikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan.
“Ia akan menyumbang kepada agenda pembangunan negara (kerana perumahan merupakan keperluan asas),” katanya.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Group Bhd Tan Sri Leong Hoy Kum pula berkata inisiatif untuk meningkatkan had kelayakan pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) daripada RM600,000 kepada RM1 juta mencerminkan pemahaman yang jelas mengenai landskap ekonomi yang semakin berkembang.
“Langkah ini akan memberi manfaat kepada penjawat awam dengan meningkatkan peluang mereka untuk memiliki rumah dan menyokong pertumbuhan keseluruhan sektor perumahan.
“Cadangan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian duti setem penuh ke atas surat cara pemindahan dan perjanjian pinjaman bagi unit berharga sehingga RM500,000 sehingga 31 Dis, 2027, akan terus meringankan beban kewangan pembeli rumah kali pertama,” kata Leong.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia Keith Ooi, Belanjawan 2026 amat menggalakkan kerana ia telah menyepadukan keutamaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus ke dalam perancangan ekonomi dan pembangunan.
“Langkah memperkenalkan cukai karbon, selain insentif cukai hijau, memberi isyarat mengenai peralihan dasar yang kukuh yang akan mempengaruhi keputusan pelaburan merentas sektor hartanah dan pembinaan,” katanya.
-- BERNAMA