BERITA TERKINI   Ringgit mungkin cecah bawah 4.00 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2026 apabila hala tuju pengurangan kadar faedah Fed lebih jelas -- Ketua ahli ekonomi AmBank | AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.9 peratus daripada 4.6 peratus, 2026 tumbuh 4.5 peratus | Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan tuntutan, sebaliknya kerangka pastikan perairan itu selamat sebagai laluan perdagangan - Mohamad | Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026 -- Ketua ahli ekonomi AmBank | Salah guna Grok: Kementerian Komunikasi teliti semula nilai ambang lapan juta pengguna bagi syarat lesen media sosial - Fahmi | 

Malaysia Peruntuk RM63 Juta Perhebat Kempen Tangkis Tohmahan Barat Terhadap Sawit

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Berkat penemuan saintifik, Malaysia berjaya menangkis  tohmahan barat terhadap sawit menerusi peningkatan eksport terutamanya ke China dan India, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata justeru, RM63 juta diperuntukkan untuk memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit dan menggalakkan pensijilan mampan termasuk oleh pekebun kecil persendirian.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan menggalakkan inovasi tempatan, RM20 juta disediakan bagi menyokong syarikat mula niaga mengeluarkan produk mekanisasi dan automasi dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan syarikat utama sawit.

Kerajaan juga memperuntukkan hampir RM120 juta bertujuan untuk membela nasib pekebun kecil yang memerah keringat, membanting tulang mencari rezeki di ladang, kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini. 

Ia juga bagi menampung sebahagian kos tanaman semula pekebun kecil sawit bagi menggantikan sawit tua, menggalakkan pekebun kecil getah menghasilkan getah dan mengusaha semula ladang getah persendirian yang terbiar di samping membekalkan pekebun kecil koko dengan 1.1 juta anak benih koko berkualiti termasuk bantuan latihan oleh pemain industri.

“Ia bertujuan mengurangkan beban pekebun kecil lada susulan peningkatan kos input seperti baja dan racun; dan menyokong pekebun kecil kenaf untuk meningkatkan hasil kenaf sebagai antara sumber pertumbuhan baharu agrikomoditi,” kata beliau.

Anwar berkata Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dengan kos RM600 juta demi kemampanan masa depan industri. 

LGM juga akan melaksanakan program insentif pengeluaran lateks serta pengaktifan ladang getah terbiar, kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan hari ini membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM419.2 bilion.

Ketika membentangkan belanjawan itu di Parlimen petang Jumaat, Anwar berkata daripada jumlah tersebut, RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).

Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

-- BERNAMA