BERITA TERKINI   Sokongan padu kepada bidang sukan negara pastikan selaras kemajuan ekonomi, intelek - PM Anwar | 

Jualan Sektor Pembuatan Cecah RM168.3 Bilion, Naik 2.7 Peratus Pada Ogos 2025 - Perangkaan

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Sektor pembuatan mencatatkan jualan berjumlah RM168.3 bilion pada Ogos 2025, berkembang 2.7 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu disumbangkan terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau, yang masing-masing naik 9.6 peratus pada Ogos 2025 (Julai 2025: 8.9 peratus).

Pertumbuhan ini turut disokong lagi oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam, yang masing-masing meningkat sebanyak 3.7 peratus (Julai 2025: 6.9 peratus) dan 3.3 peratus (Julai 2025: 3.8 peratus).

"Pada masa yang sama, pertumbuhan nilai jualan melonjak 3.5 peratus, mencapai RM168.3 bilion berbanding RM162.5 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan susulan penerbitan Perangkaan Pembuatan Bulanan, Malaysia, Ogos 2025.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang mewakili 72.2 peratus daripada jumlah jualan, tumbuh 2.0 peratus pada Ogos 2025 (Julai 2025: 2.7 peratus).

Prestasi ini terutamanya dipengaruhi oleh peningkatan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan sebanyak 8.2 peratus (Julai 2025: 6.3 peratus).

Sementara itu, pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal tumbuh 3.8 peratus (Julai 2025: 6.9 peratus), dan pembuatan jentera serta peralatan meningkat sebanyak 4.9 peratus (Julai 2025: 12.4 peratus).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, pertumbuhan industri berorientasikan eksport kembali positif pada 4.2 peratus (Julai 2025: -0.3 peratus).

Begitu juga, industri berorientasikan domestik meningkat 4.5 peratus pada Ogos 2025, selepas mencatatkan 5.6 peratus bulan lepas.

Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam pembuatan produk pemprosesan makanan pada 11.6 peratus pada Ogos 2025 (Julai 2025: 12.7 peratus); serta dalam industri pembuatan logam asas (4.3 peratus); dan pembuatan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan (4.6 peratus).

Bagaimanapun, industri berorientasikan domestik meningkat 1.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, sejumlah 2.4 juta orang pekerja direkodkan dalam sektor ini pada Ogos 2025, bertambah sebanyak 1.0 peratus (Julai 2025: 1.1 peratus).

Pertambahan ini dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (2.3 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.4 peratus); dan peralatan elektrik dan elektronik (0.9 peratus), kata Mohd Uzir.

Berasaskan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor ini meningkat 0.2 peratus.

Seiring dengan itu, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan pengembangan 1.8 peratus (Julai 2025: 2.3 peratus), berjumlah RM8.26 bilion pada Ogos 2025.

Di samping itu, gaji dan upah yang dibayar susut 0.6 peratus berbanding RM8.31 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Selanjutnya, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatatkan RM70,063 (1.7 peratus), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,440, meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun.

Bagi tempoh dari Januari sehingga Ogos 2025,  Mohd Uzir berkata sektor pembuatan merekodkan jualan kumulatif sebanyak RM1.3 trilion, tumbuh 3.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024 (Januari – Ogos 2024: 4.9 peratus).

"Bilangan pekerja meningkat sebanyak 1.0 peratus kepada 2.4 juta orang, manakala gaji dan upah meningkat 1.9 peratus kepada RM66.8 bilion.

"Selain itu, nilai jualan setiap pekerja berjumlah RM535,728, tumbuh 2.5 peratus," katanya.

-- BERNAMA