Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Menjelang Pembentangan Belanjawan 2026
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup lebih rendah pada tengah hari ini seiring dengan prestasi lemah di keseluruhan pasaran serantau, apabila pelabur kekal tidak memasuki pasaran menjelang pengumuman Belanjawan 2026 petang ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang hari ini.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.01 mata kepada 1,626.66 daripada paras penutup1,629.67 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 1.51 mata kepada 1,628.16 dan bergerak antara paras 1,621.74 dan 1,628.21 sepanjang sesi pagi.
Keseluruhan pasaran negatif dengan 552 kaunter rugi mengatasi 323 kaunter untung, manakala 494 kaunter tidak berubah, 1,260 tidak diniagakan dan lapan digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 2.04 bilion saham bernilai RM1.25 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam sentimen berhati-hati, kerana pelabur mungkin mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" menjelang Belanjawab 2026.
“Selain itu, kami percaya peniaga mungkin mula beralih kepada sektor sarung tangan, disokong oleh pendapatan kukuh Top Glove dan potensi pemulihan dalam sentimen industri.
"Kami juga percaya saham sarung tangan didagangkan pada nilai yang kukuh, dengan permintaan struktur dan rasionalisasi bekalan yang berterusan yang dijangka menyediakan sektor itu peningkatan jangka panjang," kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikannya hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM9.95, CIMB Group turun satu sen kepada RM7.56, IHH Healthcare berkurangan dua sen kepada RM8.08, dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.28, manakala Public Bank naik satu sen kepada RM4.30.
Dalam senarai saham paling aktif, Top Glove meningkat satu sen kepada 68 sen, Tanco naik setengah sen kepada 85.5 sen, manakala Hartalega susut enam sen kepada RM1.24 dan V.S Industry turun setengah sen kepada 56 sen, manakala TWL kekal tidak berubah pada tiga sen.
Dalam kalangan saham paling untung VSTECS naik 30 sen kepada RM4.29, Gas Malaysia meningkat 15 sen kepada RM4.80; Hong Leong Bank menokok 14 sen kepada RM20.64, manakala Hong Leong Financial dan Allianz menambah 12 sen masing-masing kepada RM17 dan RM18.12.
Dalam kalangan saham paling rugi, Nestle susut RM1.06 kepada RM98.50; Industri Pasifik Malaysia merosot 52 sen kepada RM30.64; Kuala Lumpur Kepong turun 24 sen kepada RM20.44, KESM berkurangan 19 sen kepada RM3.71; dan Vitrox menyusut 18 sen kepada RM4.36.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 23 mata kepada 12,158.35, Indeks FBM 100 susut 24.58 mata kepada 11,883.12, dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 19.03 mata kepada 12,227.08.
Indeks FBM 70 susut 46.59 mata kepada 17,207.01, manakala Indeks FBM ACE turun 10.74 mata kepada 5,280.39.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.24 mata kepada 174.62, Indeks Perladangan turun 14.73 mata kepada 7,889.72, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 33.22 mata kepada 18,419.63, manakala Indeks Tenaga meningkat 5.40 mata kepada 800.36.
-- BERNAMA