BERITA TERKINI   Hak-hak negeri perlu dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan - Agong | Agong ingatkan setiap perbahasan, keputusan dan undian di Parlimen bakal menentukan masa depan negara | Sistem pendidikan baharu mesti selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bahasa Melayu diutamakan - Agong | Undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar wajar diwujudkan segera, pastikan keharmonian semua kaum dan kedaulatan negara - Agong | Bukan hanya penerima rasuah tetapi pemberi dan ejen yang bersubahat turut perlu diambil tindakan - Agong | 

Pasaran Getah Teruskan Aliran Kenaikan Dengan Pembeli Dari China Kembali Ke Pasaran

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran kenaikan semalam untuk ditutup tinggi pada Khamis seiring dengan niaga hadapan getah serantau susulan kembalinya pembeli dari China ke pasaran ketika harga minyak mentah kekal stabil, kata seorang peniaga.

Niaga hadapan getah Jepun naik lebih tinggi pada Khamis seiring dengan pergerakan Nikkei dan disokong oleh penyambungan semula perdagangan di China selepas cuti Hari Kebangsaan.

Peniaga itu berkata, sentimen pasaran turut dipacu oleh prospek ekonomi global yang bertambah baik dan ia dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) manakala harga getah disokong oleh laporan mengenai penurunan pengeluaran getah asli (NR) tempatan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM melaporkan pengeluaran NR tempatan menurun sebanyak 12.8 peratus pada Ogos 2025 kepada 31,285 tan daripada 35,884 tan pada Julai 2025.

"Bagaimanapun, kenaikan lanjut terhad oleh ringgit yang sedikit lebih kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global susulan penutupan kerajaan Amerika Syarikat yang berpanjangan dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah," katanya kepada Bernama.

Sewaktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat sebanyak 0.29 peratus kepada US$66.30 setong.

Sementara itu, pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) menokok sebanyak 4.5 sen kepada 740 sen setiap kilogram manakala lateks pukal naik satu sen kepada 574 sen setiap kilogram.

-- BERNAMA