BERITA TERKINI   PM Anwar ucap tahniah kepada Pusat Jantung Hospital Serdang atas pencapaian membanggakan dalam beri rawatan berkualiti tinggi kepada rakyat | Tumpuan pembangunan negara tidak hanya kepada digital, teknologi malah berpaksi nilai berteraskan agama - PM Anwar | Kerajaan terus beri sokongan jayakan sambutan Hari Wesak bagi hormati masyarakat Buddha di negara ini - PM Anwar | PM Anwar seru majoriti yang cintakan Malaysia tidak biarkan negara ditawan naratif kebencian | PM Anwar mahu agensi berkaitan turun padang bantu PKS, perjelas pembiayaan disediakan kerajaan | 

Peluang Pertukaran Pengetahuan Antara Finland Dan Malaysia Dalam CCS

Daripada Zufazlin Baharuddin

HELSINKI, 9 Okt (Bernama) -- Kepakaran Finland dalam menukar sisa kepada tenaga dan kapasiti penyimpanan karbon sedia ada di Malaysia membuka peluang untuk pertukaran pengetahuan dalam pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), membantu kedua-dua negara menuju ke arah neutral karbon.

Naib Presiden Kanan Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Vantaan Energia Juha Luomala berkata syarikat sedang melaksanakan projek untuk memerangkap dan menyimpan karbon dioksida (CO₂) daripada loji sisa kepada tenaganya menjelang 2035, mengetengahkan usaha pengurangan karbon dipacu teknologi di Finland.

“Model Finland adalah kukuh dalam sisa kepada tenaga dan penerimaan rakyat manakala kekuatan Malaysia terletak pada potensi penyimpanan (karbon) berdasarkan faktor geopolitiknya untuk CO₂.

“Kita boleh belajar daripada satu sama lain dengan melihat projek masing-masing. Kemungkinan terdapat persamaan dan cabaran yang sama serta adalah baik untuk membincangkannya,” katanya kepada Bernama yang menghadiri program media “Climate Solutions from Finland” di sini.

Vantaan Energia antara syarikat tenaga bandar terbesar di Finland, dengan kemudahannya terdiri daripada loji sisa kepada tenaga, perluasan loji sisa kepada tenaga dan loji pembakaran suhu tinggi.

Beliau berkata prasyarat untuk melaksanakan CCS termasuklah insentif yang mencukupi dan mekanisme sokongan pada peringkat nasional dan Kesatuan Eropah, disokong oleh kawal selia jangka panjang dan pembangunan infrastruktur yang diperlukan untuk pengangkutan CO₂.

Sementara itu, Malaysia telah lama membangunkan projek CCS luar pesisir, termasuk Kasawari dan Lang Lebah, yang memerangkap CO₂ daripada pengeluaran gas asli dan menyimpannya di takungan gas yang telah tiada hasil.

Malaysia giat memacu inisiatif CCS selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dengan matlamat untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.

-- BERNAMA