BERITA TERKINI   Hak-hak negeri perlu dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan - Agong | Agong ingatkan setiap perbahasan, keputusan dan undian di Parlimen bakal menentukan masa depan negara | Sistem pendidikan baharu mesti selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bahasa Melayu diutamakan - Agong | Undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar wajar diwujudkan segera, pastikan keharmonian semua kaum dan kedaulatan negara - Agong | Bukan hanya penerima rasuah tetapi pemberi dan ejen yang bersubahat turut perlu diambil tindakan - Agong | 

Sitra Dari Finland Pertimbang Lancar Aplikasi Penjejak Karbon Peribadi Di Malaysia

Daripada Zufazlin Baharuddin

HELSINKI, 9 Okt (Bernama) -- Dana Inovasi Finland, Sitra, melihat potensi besar untuk memperkenalkan aplikasi "Ujian Gaya Hidup" di Malaysia, membantu pengguna mengukur jejak karbon mereka dan menggalakkan pilihan gaya hidup positif dan mampan.

Aplikasi Ujian Gaya Hidup ialah projek dibiayai oleh Horizon 2020 diterajui Sitra merentasi lapan negara: Finland, Estonia, Jerman, Slovenia, Itali, Greece, Portugal dan Turkiye.

Setakat 7 Oktober, lebih 500,000 ujian telah selesai dijalankan dengan rakyat merancang pilihan gaya hidup mampan yang boleh menjimatkan sebanyak 78 juta kilogram karbon dioksida.

Ketua Kanan Program Antarabangsa Sitra Jussi Nevanlinna berkata aplikasi itu boleh berfungsi sebagai alat bernilai tinggi di Malaysia, membantu penggubal dasar dan perniagaan mengenal pasti jurang serta memacu perubahan dan inovasi sistemik.

"Kami bercakap dengan ahli Consumers International dalam kalangan rakyat Malaysia dan pasukan hak penggunanya, mereka sangat teruja untuk membawanya ke Malaysia," katanya ketika ditemui Bernama semasa program media - "Penyelesaian Iklim dari Finland".

"Justeru, saya berpendapat ia mempunyai potensi tinggi. Orang ramai bimbang mengenai kesan mereka terhadap planet ini dan jika anda memberi mereka cara untuk memahami perkara yang boleh dilakukan, kebimbangan mereka tentang kehidupan mampan berkurangan sedikit," katanya.

Nevanlinna berkata data dikumpul oleh aplikasi itu memberikan pandangan unik mengenai tindakan mampan yang orang ramai mahu atau tidak mahu lakukan, penggubal dasar boleh menggunakan maklumat berkenaan untuk mereka bentuk dasar yang disasarkan.

"Kami menghubungkan hasrat pengguna, keputusan dasar dan inovasi pasaran mampan. Ini mewujudkan kemajuan dipacu data yang memberi manfaat kepada ekonomi dan iklim," katanya.

Sitra, sebuah dana masa depan bebas di bawah pengawasan Parlimen Finland, berdedikasi untuk menangani isu-isu kemasyarakatan yang mencorakkan dunia.

Melangkah ke depan, organisasi itu menyasarkan untuk mengembangkan inisiatif ke lebih 50 negara untuk menggalakkan gaya hidup mampan dan memupuk perubahan sistemik.

-- BERNAMA