BERITA TERKINI   9 Rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan FFC, TMTG dibebaskan pada Jumaat, kata Kementerian Luar | Belanjawan 2026: Kerajaan Persekutuan peruntuk RM1.2 bilion, jamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah. | Belanjawan 2026: RM1.67 bilion diperuntukkan tahun hadapan bagi membolehkan Pan Borneo Sabah dapat dilaksana mengikut jadual | Belanjawan 2026: RM1.67 bilion disediakan untuk Pan Borneo Sabah dilaksana mengikut jadual tahun hadapan | Belanjawan 2026: Penjawat awam sahut cabaran untuk terus mempercepatkan proses, prosedur kerja - KSN | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan sentimen pasaran tempatan yang lebih baik menjelang Belanjawan 2026, yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada mata wang tersebut.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.2120/2220 berbanding dolar AS, naik daripada 4.2140/2195 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa kerajaan dijangka mengekalkan komitmennya untuk mengurangkan defisit fiskal kepada paras di bawah sasaran pada tahun ini sebanyak 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini akan membawa kepada ruang fiskal yang lebih baik dan yang lebih penting, penilaian kredit yang lebih positif berikutan nisbah hutang kerajaan kepada KDNK dijangka stabil dan mencatatkan aliran penurunan secara berperingkat seiring dengan pengurangan dalam pinjaman baharu,” katanya.

Beliau berkata ringgit dijangka terus diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.21 dan RM4.22 berbanding dolar AS hari ini.

Pada sesi pembukaan, ringgit bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.6441/6575 daripada 5.6501/6575 semasa ditutup pada Rabu, bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 4.8981/9098 daripada 4.8941/9005 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.7578/7645 daripada 2.7559/7596 sebelum ini.

Ringgit turut bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9321/9708 daripada 12.9506/9739 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 254.1/254.8 daripada 254.2/254.7.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2508/2587 daripada 3.2503/2548 dan berubah sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.27/7.29 daripada 7.27/7.28 sebelum ini.

-- BERNAMA