BERITA TERKINI   Peguam ADALAH laporkan sembilan kapal misi FFC x TTMG telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod - CEO MyCare | Peguam ADALAH sahkan kesemua 145 aktivis FFC telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel - CEO MyCare | FFC x TTMG: Sembilan delegasi Malaysia dalam keadaan selamat, tujuh telah bertemu peguam ADALAH untuk urusan guaman - CEO MyCare | Jabatan Wilayah Persekutuan gubal dasar wajibkan kategori pemilikan orang Melayu dalam pembangunan kawasan Kampung Sungai Baru - Dr Zaliha | Isu Kampung Sungai Baru: Nilai pampasan yang ditawar ketika pengambilan tanah lebih menguntungkan daripada harga pasaran - Dr Zaliha | 

Malaysia, GCC Dalam Proses Muktamadkan Tarikh Pusingan Pertama Rundingan FTA – MITI

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kini sedang dalam proses memuktamadkan tarikh yang sesuai untuk memulakan pusingan pertama rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI berkata, langkah itu adalah susulan daripada pemeteraian Kenyataan Bersama antara Malaysia dan GCC pada 26 Mei, 2025, dan diikuti Terma Rujukan (TOR) yang ditandatangai oleh Ketua Perunding kedua-dua pihak pada 17 Julai 2025.

“Antara skop utama rundingan FTA adalah perdagangan barangan, peraturan tempasal, kastam dan fasilitasi perdagangan, perkhidmatan, pelaburan, perdagangan digital, halangan teknikal perdagangan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kesemua skop tersebut telah dipersetujui kedua-dua pihak dan bertujuan untuk meningkatkan hubungan strategik Malaysia–GCC sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang penting,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini,

MITI berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN–Kalabakan) yang meminta kementerian menyatakan langkah dalam rundingan FTA bersama GCC menjelang akhir tahun ini bagi memastikan kepentingan sektor pertanian dan PMKS tidak terjejas di samping memanfaatkan peluang pelaburan, eksport serta melindungi piawaian nasional.

Kementerian itu berkata bagi melindungi kepentingan sektor pertanian dan PMKS dan piawaian nasional tidak terjejas serta memastikan piawaian nasional dilindungi, pasukan rundingan FTA akan melibatkan wakil daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Jabatan Standard Malaysia.

“Selain itu, sebagai persediaan, MITI telah menganjurkan sesi konsultasi pada 21 April 2025 melibatkan kira-kira 200 wakil industri, dewan dan persatuan perniagaan serta kementerian dan agensi kerajaan bagi membincangkan rundingan FTA tersebut,” kata MITI. 

--BERNAMA