Belanjawan 2026: LIAM Syor Pelepasan Cukai Lebih Tinggi Bagi Gabungan Pelan Insurans
KUALA LUMPUR, Oct 7 (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) mengesyorkan pelepasan cukai yang lebih tinggi bagi gabungan pelan insurans pendidikan, perubatan dan kesihatan, dengan menaikkan had daripada RM4,000 kepada RM6,000 dalam Belanjawan 2026.
Ketua Eksekutifnya, Mark O’Dell menerusi satu kenyataan hari ini berkata pembayar cukai kini menikmati pelepasan cukai maksimum RM4,000 ke atas premium yang dibayar untuk gabungan insurans perubatan dan pendidikan.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.
“Dalam kebanyakan kes, jumlah (pelepasan cukai) ini tidak mencukupi. Sebagai contoh, insurans perubatan, yang paling rendah, untuk purata keluarga dua dewasa dan tiga kanak-kanak berharga lebih RM3,000 setahun.
“Oleh itu, tiada simpanan premium setahun bagi keluarga ini untuk menyokong polisi insurans pendidikan tiga anak itu, yang mana tidak mencukupi,” katanya.
Memandangkan kepentingan insurans kesihatan untuk rakyat Malaysia, beliau berkata pelepasan cukai bagi pelan insurans sedemikian perlu dinaikkan kepada RM6,000, kerana pelarasan itu akan membantu meringankan beban kewangan peningkatan kos perubatan dan menggalakkan pembayar cukai melabur dalam perancangan penjagaan kesihatan jangka panjang.
Di samping itu, O'Dell mencadangkan penepian cukai perkhidmatan lapan peratus ke atas skim insurans pekerja kumpulan untuk menggalakkan lebih ramai majikan menyediakan faedah insurans kumpulan, terutamanya bagi pekerja yang tidak dapat membeli perlindungan insurans peribadi.
“Inisiatif ini juga akan membantu mengurangkan kos operasi perniagaan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana, dan seterusnya memberi insentif kepada mereka untuk mengekalkan perlindungan insurans pekerja.
"Selain itu, ia akan mengurangkan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan awam, kerana pekerja yang diinsuranskan selalunya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan swasta," katanya.
O’Dell berkata cadangan pengecualian cukai itu akan memberi manfaat besar kepada pekerja, majikan, dan ekonomi negara, di samping menyumbang kepada peningkatan kadar perlindungan insurans dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut beliau, sekiranya kedua-dua cadangan ini diterima dalam Belanjawan 2026, ia akan meningkatkan lagi inklusi kewangan, menambah baik kadar penembusan dan menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih mampan serta berdaya tahan
Beliau berkata kedua-dua cadangan itu bertujuan untuk mengukuhkan inklusi kewangan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Cadangan kami memberi tumpuan kepada meningkatkan perlindungan penjagaan kesihatan, menggalakkan perancangan kewangan yang proaktif, dan memperluaskan perlindungan insurans untuk orang awam serta pekerja di seluruh negara,” katanya.
-- BERNAMA