BERITA TERKINI   Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakai teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | Dewan Rakyat lulus RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, tambah baik proses pengeluaran, pembaharuan lesen perniagaan agensi persendirian | Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | 

Produktiviti Pekerja Malaysia Meningkat 2.4 Peratus Pada 2024 - MITI

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Produktiviti pekerja Malaysia meningkat 2.4 peratus pada 2024 dengan nilai tambah per pekerja berjumlah RM99,265 berbanding RM96,914 pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri MITI Liew Chin Tong berkata kadar tersebut dikira berdasarkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibahagikan dengan bilangan pekerja semasa yang berumur antara 15 hingga 64 tahun.

“Produktiviti pekerja negara terus menunjukkan peningkatan selaras dengan usaha kerajaan mentransformasikan sektor perkilangan ke arah penggunaan teknologi terkini serta automasi,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH–Gombak) mengenai produktiviti terkini pekerja di Malaysia serta strategi MITI untuk menggalakkan syarikat dan majikan melabur dalam teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti pekerja.

Liew berkata Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 merupakan komitmen kerajaan untuk menjadikan sektor perkilangan lebih produktif melalui pelaburan dalam teknologi baharu, termasuk sasaran pewujudan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

“Rancangan Malaysia Ke-13 turut menetapkan pengurangan nisbah pekerja asing kepada jumlah keseluruhan tenaga kerja daripada 15 peratus kepada 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan termasuk Nexus Produktiviti oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk meningkatkan produktiviti dalam 14 sektor terpilih seperti elektrik dan elektronik, kimia serta farmaseutikal, selain program Smart Tech-Up yang memperkukuh kesinambungan program Industry4WRD sebelum ini.

Pelaksanaan Dana Pelaburan Strategik Bersama NIMP (NIMP CoSIF) yang memperkenalkan model pembiayaan gabungan turut menyokong pembiayaan projek strategik berimpak tinggi bagi mempercepat transformasi industri tempatan, katanya.

-- BERNAMA