Bioeconomy Corporation, Polaris Bio Meterai RM700 Juta Pelaburan Projek Biogas-POME
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) dan Polaris Bio Co Ltd memeterai pelaburan sebanyak RM700 juta bagi membangunkan kemudahan penaiktarafan biogas berasaskan efluen kilang minyak sawit (POME) di Malaysia.
Polaris Bio merupakan syarikat yang berpusat di Korea Selatan.
Kata Bioeconomy Corporation, kemudahan pusat pertama akan melibatkan pelaburan awal berjumlah RM30 juta daripada keseluruhan nilai pelaburan yang dirancang sebanyak RM700 juta.
"Usaha pertama ini bertujuan mengesahkan keberkesanan teknikal dan kewangan teknologi penaiktarafan biogas sekali gus membuka jalan kepada pembangunan lebih 20 pusat baharu di Malaysia yang dijangka mengurangkan sehingga 384,000 tan karbon dioksida setara setiap tahun," kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dan CEO Polaris Bio Junghwan Kim bertukar-tukar MoU berkenaan sempena Majlis Perasmian National Innovation and Creative Economy Expo (NICE 2025) di sini hari ini.
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kerjasama ini akan mempercepatkan pengkomersialan bioteknologi yang menukar POME kepada biogas asli mampat (Bio-CNG), sejenis bahan api mampan selain menghasilkan kredit karbon yang boleh diniagakan di peringkat antarabangsa serta dikenali sebagai Internationally Transferred Mitigation Outcomes (ITMOs) di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris.
Selain itu, kerjasama itu akan mempercepatkan pengkomersialan bioteknologi yang menukar POME kepada biogas asli mampat (Bio-CNG), sejenis bahan api mampan yang menghasilkan kredit karbon dan boleh diniagakan di peringkat antarabangsa.
Ia dikenali sebagai Internationally Transferred Mitigation Outcomes (ITMOs) di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris.
Sementara itu, Mohd Khairul Fidzal berkata projek-projek biogas terdahulu melalui cabaran seperti hasil pengeluaran yang tidak stabil, kos penyelenggaraan tinggi dan integrasi hiliran yang terhad.
Kini, katanya, biogas boleh diproses menjadi Bio-CNG, biometana dan bahan kimia hijau seterusnya menyumbang besar kepada usaha mengurangkan jejak karbon dan memperkukuh ekosistem tenaga boleh baharu (TBB) dan industri berasaskan bio di Malaysia.
“Sejak dua tahun kebelakangan ini, syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator menunjukkan pertumbuhan pesat dalam kerjasama biotenaga, lalu menarik semula keyakinan pelabur terhadap sektor ini.
"Melalui kerjasama dengan Polaris Bio, kami mengukuhkan lagi momentum ini dan menyokong hasrat kerajaan menjadikan biotenaga sebagai tunjang peralihan tenaga negara serta pemacu utama bioekonomi kitaran Malaysia,” tambahnya.
Dalam pada itu Kim pula berkata, kerjasama dengan Bioeconomy Corporation membuka peluang baharu untuk memperluaskan penyelesaian biotenaga di Malaysia selain menjadi model contoh bagi kerjasama rentas sempadan dalam menangani isu perubahan iklim.
“Sejak 2020, Polaris Bio aktif terlibat dalam inisiatif perintis di Malaysia yang menukar POME kepada Bio-CNG.
"Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan Korea–Malaysia dalam bidang TBB dan pasaran karbon, tetapi juga menjadi usaha dua hala pertama di bawah Artikel 6.2 yang akan memperkukuh pembangunan pasaran karbon di kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA