BERITA TERKINI   Belanjawan 2026 adalah langkah permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13, yang melakar usaha pembangunan Malaysia dari 2026 hingga 2030 – Amir Hamzah | Belanjawan 2026 bakal mengukuhkan perlindungan sosial, daya tahan isi rumah dengan pelaburan menumpukan kepada semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan dan syarikat pemula niaga - Amir Hamzah | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Lebih Tinggi Minggu Depan

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mungkin meningkat minggu depan berikutan penutupan perkhidmatan kerajaan Amerika Syarikat (AS), yang boleh memperlahankan pertumbuhan dan mendorong penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga emas sekali lagi merekodkan paras tertinggi sepanjang minggu kepada US$3,865.74 setiap auns troy, susulan kebimbangan penutupan perkhidmatan kerajaan AS telah menyebabkan harga emas lebih tinggi.

Beliau berkata penutupan perkhidmatan kerajaan AS mungkin akan mempercepatkan penurunan kadar faedah oleh Fed, yang boleh menyebabkan dolar AS yang lebih lemah.

“Berdasarkan itu, harga emas boleh berada pada julat antara US$3,855 dan US$3,865 setiap auns troy minggu depan,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Bagi asas mingguan, kontrak Oktober 2025 mengukuh kepada US$3,872.8 setiap auns troy daripada US$3,765.40, dan kontrak November 2025 meningkat kepada US$3,891.0 setiap auns troy daripada US$3,783.6 sebelumnya. 

Kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya ditutup lebih tinggi pada US$3,939.8 setiap auns troy berbanding US$3,803.5 setiap auns troy minggu lepas.

Kontrak September 2025 berada pada US$3,750.30 setiap auns troy, dan kontrak Disember 2025 meningkat kepada US$3,905.9 setiap auns troy daripada US$3,803.5 minggu lepas.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 1,328 lot daripada 2,310 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 259 kontrak daripada 658 kontrak sebelumnya.

Berdasarkan penetapan London Bullion Market Association pada 2 Okt, 2025, emas fizikal berada pada US$3,878.10 setiap auns troy.

-- BERNAMA