Belanjawan 2026: MPOB Mohon Lebih Banyak Insentif Tingkat Eksport, Hasil Dan Kemampanan
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Industri minyak sawit memohon kerajaan memberi lebih banyak insentif bersasar dan sokongan dasar diberikan dalam Belanjawan 2026 untuk meningkatkan daya saing eksport, mempertingkat hasil dan produktiviti, serta memperkukuh kemampanan, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kerajaan perlu mempergiat usaha promosi perdagangan dan inisiatif penjenamaan untuk menempatkan minyak sawit Malaysia sebagai komoditi yang mampan dan pintar terhadap iklim.
“Memperkuatkan jenama akan mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap piawaian kemampanan seperti pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sistem Kebolehkesanan Nasional (SKN) yang meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
“Kredibiliti ini sedikit sebanyak membantu menangkis kempen negatif di pasaran eksport utama dan meyakinkan pembeli bahawa minyak sawit Malaysia memenuhi permintaan pengguna yang peka terhadap iklim,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata industri juga sedang mengusahakan insentif fiskal untuk produk-produk hiliran termasuk oleokimia, lemak khusus, biotenaga dan bahan api penerbangan mampan (SAF), sambil menyifatkannya sebagai pemacu utama untuk memperkukuh daya tahan sektor itu terhadap tekanan kawal selia, pilihan pengguna yang berubah dan dan keperluan yang mampan untuk global.
“Kami menggesa lebih banyak sokongan strategik diberikan untuk kecekapan logistik, termasuk insentif penyelesaian eksport yang lebih hijau dan berkos rendah bagi menangani tekanan kos semasa serta kedudukan pasaran jangka panjang, sekali gus memastikan industri minyak sawit Malaysia kekal berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan,” tambahnya.
Mempertingkat hasil dan produktiviti
Ahmad Parveez berkata elaun pelaburan semula (RA) sebanyak 100 peratus untuk penanaman semula kelapa sawit perlu digalakkan bagi mempercepatkan usaha penanaman semula oleh pihak swasta dan agensi kerajaan.
“Inisiatif ini dijangka meningkatkan kadar penanaman semula kelapa sawit daripada 2.5 peratus (101,809 hektar) kepada 5.1 peratus (210,000 hektar) setiap tahun,” katanya.
Beliau berharap agar kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM280 juta untuk program penanaman semula kelapa sawit khususnya untuk pekebun-pekebun kecil bebas.
“Menyedari keperluan mendesak untuk meremajakan ladang-ladang yang telah tua, kerajaan kekal komited untuk menyokong pekebun kecil bebas dan akan terus mempercepatkan program penanaman semula di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Ini termasuk menambah baik mekanisme penyampaian, memudahkan akses kepada bantuan kewangan dan memperkukuh jangkauan serta libat urus dengan komuniti-komuniti pekebun kecil,” katanya.
Beliau berkata usaha memperkenalkan skim pinjaman mudah bernilai RM100 juta untuk ladang kelapa sawit bersaiz kecil dan sederhana adalah tepat pada masanya bagi meremajakan pokok yang telah tua dan tidak produktif, yang ketika ini menyumbang kepada penurunan hasil dan mengurangkan daya saing.
“Sama seperti Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), skim ini akan membolehkan pekebun-pekebun kecil melaksanakan penanaman semula tanpa beban kewangan yang berat, sekali gus mempercepatkan usaha peremajaan dalam segmen industri yang lebih luas.
“Dari segi jangka sederhana hingga panjang, inisiatif ini akan meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) negara melalui varieti sawit berhasil tinggi dan amalan pengurusan ladang yang lebih baik,” katanya.
Mempromosikan masa depan yang mampan
Ahmad Parveez mencadangkan pelaksanaan duti eksport sebanyak tiga peratus ke atas stearin minyak sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) untuk menggalakkan pengurangan eksport berlebihan dan memastikan bekalan mencukupi untuk sektor oleokimia domestik.
Beliau berkata mengekalkan bekalan bahan mentah yang mencukupi dalam negara akan memastikan kelangsungan pengeluaran dan daya saing, di samping secara tidak langsung menyokong industri oleokimia berasaskan sawit.
“Dengan memperkukuh industri hiliran, kita membina masa depan minyak sawit yang lebih mampan dan berdaya tahan, sekali gus menambah nilai lebih tinggi di peringkat tempatan dan melindungi daya saing jangka panjang,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan duti eksport sebanyak 10–20 peratus ke atas sisa minyak sawit termasuk minyak masak terpakai (UCO) dan sisa akhir efluen kilang kelapa sawit.
Langkah ini akan menggalakkan penggunaan dan penambahan nilai di peringkat tempatan dengan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi untuk pengeluaran biodiesel, bahan api boleh baharu dan oleokimia.
“Selain itu, pelaksanaan duti akan membantu mengukuhkan pematuhan terhadap piawaian kemampanan dan pensijilan seperti MSPO serta Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC) yang penting untuk kegunaan domestik mahupun kredibiliti eksport.
“Dalam jangka panjang, langkah ini akan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah industri sawit yang lebih berkitaran dan hijau serta memperkukuh daya saing globalnya sebagai komoditi yang bertanggungjawab dan bersedia untuk masa depan,” katanya.
Mengatasi cabaran luaran
Ahmad Parveez menambah Belanjawan 2026 boleh memainkan peranan penting dalam membantu sektor sawit mengatasi cabaran luaran sambil memupuk pertumbuhan, produktiviti dan daya tahannya.
Beliau berkata program penanaman semula untuk pekebun kecil dan ladang PKS perlu diperluaskan dengan memberi penekanan kepada penggunaan bahan tanaman yang berhasil tinggi dan kalis penyakit.
“Tumpuan juga perlu diberikan kepada pengukuhan pematuhan kemampanan melalui penerimaan menyeluruh MSPO dan sistem kebolehkesanan yang mantap.
“Pematuhan terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global adalah penting untuk melindungi kedudukan Malaysia di pasaran antarabangsa. Insentif bagi mekanisasi, pendigitalan dan pertanian tepat akan turut membantu mengurangkan kebergantungan kepada buruh manual serta meningkatkan kecekapan operasi,” tambahnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt.
-- BERNAMA