BERITA TERKINI   Lembaga Disiplin JPA akan bermesyuarat berhubung hasil laporan siasatan isu pemilikan saham KP SPRM dalam masa terdekat - KSN | Kenaikan gred pembantu tadbir Gred 1 kepada Gred 5 dilaksana secara berperingkat, ambil kira pelbagai syarat kelayakan - KSN | Harga minyak mentah Brent turun kepada US$94.22 setong hari ini berbanding paras tertinggi semalam pada US$118.60 setong | Konflik Asia Barat: KPDN tingkat pemantauan risiko penyeludupan bahan api di sempadan negara - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berkuat kuasa 14-28 Mac, libatkan 27 jenis barangan - Armizan | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Berikutan Harga Minyak Stabil

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini, dipengaruhi oleh penanda aras harga minyak mentah yang stabil dalam keadaan kebimbangan yang berterusan mengenai kekurangan bekalan getah asli berikutan cuaca buruk di negara pengeluar utama, kata peniaga.

Menurutnya kemungkinan untuk Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah selanjutnya turut meningkatkan sentimen.

“Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dikekang oleh trend bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dalam keadaan ketiadaan pembeli China ketika peniaga mengambil kira kesan penutupan kerajaan AS yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Menurut peniaga itu, harga minyak meningkat pada Jumaat selepas kebakaran melanda satu daripada kilang penapisan terbesar di Pantai Barat AS.

Bagaimanapun, beliau berpendapat harga dijangka mengalami penyusutan paling ketara sejak akhir Jun.

Agensi meteorologi Thailand turut memberi amaran mengenai hujan lebat dan pengumpulan air yang boleh menyebabkan banjir kilat dan limpahan bermula 6 hingga 8 Okt 2025.

“Pasaran kewangan juga dilaporkan bertambah yakin bahawa Rizab Persekutuan AS akan meneruskan penurunan kadar faedah. Pasaran hampir pasti menjangka penurunan kadar sebanyak 25 mata asas pada Oktober,” kata peniaga. 

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat tujuh sen kepada 731.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 2.5 sen kepada 570.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA