BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 0-1 Kuching City FC | GSF: Kesemua delegasi Malaysia yang tiba di Istanbul akan berlepas ke tanah air seawal Isnin ini - KP SNCC | GSF: 137 daripada 462 peserta misi yang ditahan telah dibebaskan dengan bantuan Kerajaan Turkiye - KP SNCC | GSF: 23 delegasi Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia - KP SNCC | GSF: 23 sukarelawan Malaysia selamat tiba di Istanbul dari Israel - Fahmi | 

Agenda Transformasi Digital Pemangkin Penting Bagi Daya Saing Kerajaan -- Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Agenda transformasi digital di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) akan menjadi pemangkin penting dalam mencapai daya saing jangka panjang negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata memanfaatkan kuasa teknologi kerajaan (GovTech) dan inovasi digital akan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, meningkatkan produktiviti dan membina ekonomi yang lebih inklusif serta mampan.

"Ketika kita berdepan dengan landskap ekonomi yang semakin rumit pada hari ini, jelas sekali Malaysia perlu kekal tangkas dalam membentuk tindak balas dasar yang tepat pada masanya, relevan dan wajar.

"Ini penting bukan sahaja untuk menjaga kestabilan makroekonomi, tetapi juga untuk mengukuhkan daya tahan fiskal kita, meningkatkan penjanaan hasil dan memajukan pembaharuan struktur," katanya pada majlis pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) Bank Dunia, di sini, hari ini.

Edisi ke-31 laporan MEM bertajuk "Daripada Bait kepada Manfaat: Transformasi Digital sebagai Pemangkin Produktiviti Sektor Awam" itu mengetengahkan visi RMK13 untuk transformasi digital.

Menurut Amir Hamzah, di bawah RMK13, transformasi digital bukan sekadar agenda ekonomi, tetapi pemacu kemajuan sosial.

“Dengan meluaskan akses, memperkukuh kemahiran digital, dan memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kita boleh mengurangkan ketidaksamaan, meningkatkan taraf hidup dan mencipta peluang untuk semua rakyat Malaysia.

"Pada masa yang sama, menerapkan kepercayaan dan keselamatan siber ke dalam perancangan digital kita akan memastikan manfaat ini dilindungi dan dikongsi secara saksama dengan semua rakyat Malaysia," katanya.

Pengarah bahagian Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia dan Filipina, Zafer Mustafaoglu berkata Indeks Kematangan Teknologi Kerajaan (GTMI) Bank Dunia mendedahkan Malaysia mengatasi prestasi Organisasi bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan rakan-rakan ASEAN lain dalam beberapa bidang.

Pencapaian seperti dalam platform awan, Government Service Bus (GSB) dan penerimagunaan teknologi disruptif memperlihatkan hasrat Malaysia untuk menjadi peneraju transformasi digital di rantau ini.

GSB merujuk kepada platform penyepaduan berasaskan piawaian untuk menukar dan mengautomasikan data dengan selamat antara sistem kerajaan, dalam konteks GovTech.

"Malaysia menunjukkan contoh kepada rantau ini tentang bagaimana GovTech boleh memacu produktiviti dan membina kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.

"Bank Dunia komited untuk menyokong usaha Malaysia meningkatkan kecekapan kerajaan, yang akan membantu pertumbuhan sektor swasta dan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi bagi rakyat Malaysia," katanya.

-- BERNAMA