BERITA TERKINI   Belanjawan 2026 adalah langkah permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13, yang melakar usaha pembangunan Malaysia dari 2026 hingga 2030 – Amir Hamzah | Belanjawan 2026 bakal mengukuhkan perlindungan sosial, daya tahan isi rumah dengan pelaburan menumpukan kepada semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan dan syarikat pemula niaga - Amir Hamzah | 

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Khamis, seiring dengan prestasi niaga hadapan getah serantau dan harga minyak yang stabil dalam kebimbangan mengenai bekalan disebabkan musim hujan di negara-negara pengeluar utama, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran didorong oleh keyakinan yang meningkat terhadap penurunan kadar faedah tambahan Amerika Syarikat (AS) dan prospek permintaan yang positif dilaporkan oleh Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC).

“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh ringgit yang tinggi berbanding dolar AS selepas peserta pasaran menilai potensi impak daripada kemungkinan penutupan kerajaan AS,” katanya kepada Bernama.

Katanya niaga hadapan getah Jepun merosot pada Khamis, didorong oleh jualan kereta di China yang lembap walaupun yen lemah memberikan sokongan kepada harga.

“Harga minyak naik pada Khamis berikutan potensi sekatan yang lebih ketat ke atas minyak mentah Rusia telah memberikan sokongan walaupun kebimbangan mengenai lebihan bekalan mengehadkan kenaikan,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 4.5 sen kepada 724.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 6.0 sen kepada 568.0 sen sekilogram.

-- BERNAMA