PMI Pembuatan Malaysia Turun Sedikit Kepada 49.8 Pada September - S&P Global
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia yang diselaraskan mengikut musim oleh S&P Global mencatatkan penurunan sedikit kepada 49.8 pada September daripada 49.9 pada Ogos, menandakan keadaan operasi yang tidak berubah secara keseluruhan.
S&P Global berkata syarikat-syarikat mencatatkan peningkatan berterusan dalam tempahan baharu, bagaimanapun, pengeluaran menunjukkan tanda-tanda ia kembali perlahan.
Ia berkata walaupun pertumbuhan jualan hanya sedikit, bulan September menjadi detik penting apabila mencatatkan peningkatan pesanan baharu secara berturut-turut buat pertama kali sejak Jun 2024.
“Selain itu, para pengeluar menarik nafas lega kerana kos operasi tidak setinggi sebelum ini, berikutan inflasi harga bahan mentah berada pada paras terendah dalam tempoh lima bulan,” katanya.
Data terkini turut menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga dijangka meningkat sedikit berbanding suku sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan dalam data pengeluaran pembuatan rasmi tahun ke tahun.
Sementara itu, sentimen dalam kalangan pengeluar Malaysia kekal optimis pada September, dengan harapan tinggi terhadap permintaan yang lebih kukuh dan pelancaran produk baharu mendorong unjuran pertumbuhan pengeluaran dalam tempoh setahun akan datang, katanya.
Ahli Ekonomi Perisikan Pasaran S&P Global Usamah Bhatti berkata pesanan baharu pada September yang mancatatkan kenaikan dua bulan berturut-turut adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak setahun lepas.
"Perkembangan ini bagaimanapun disertai penurunan semula dalam jumlah pengeluaran. Namun begitu, data masih menunjukkan bahawa pertumbuhan KDNK dijangka naik sedikit pada suku ketiga," katanya.
-- BERNAMA