BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | 

Bank Digital Hanya Melengkapkan, Bukan Saingan Bank Tradisional - CEO KAF Digital Bank

PETALING JAYA, 1 Okt (Bernama) -- Bank Digital ditubuhkan dengan tujuan utama bagi menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna, dan bukannya untuk bersaing dengan bank tradisional, kata Ketua Pegawai Eksekutif KAF Digital Bank Bhd Rafiza Ghazali.

Beliau berkata perbankan digital tidak direka untuk disesuaikan dengan kapasiti bank tradisional yang besar, tetapi sebaliknya memberi tumpuan kepada khalayak sasaran yang lebih khusus. 

“Kami tidak dibina untuk bersaing dengan bank tradisional berikutan saiznya yang besar. Hasrat penubuhan bank digital ialah menyediakan pilihan tambahan kepada pasaran. 

“Oleh itu, saya berpendapat ia lebih kepada generasi muda, yang berasa lebih selesa untuk berurusan dengan teknologi apabila ia melibatkan perbankan,” katanya kepada wartawan selepas Tinjauan Celik Kewangan Malaysia 2025 (RMFLS).

Rafiza berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa deposit daripada akaun bank digital menyumbang kurang daripada 0.1 peratus daripada jumlah sistem perbankan di Malaysia.

Laporan itu turut menyatakan bahawa deposit terkumpul bank digital telah merosot sebanyak lima hingga 17 peratus antara Disember tahun lepas dan Jun tahun ini.

Sementara itu, mengenai Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober, Rafiza menggesa kerjasama lebih erat antara bank digital, kerajaan dan pemain industri.

“Di pihak kami, kami komited untuk meningkatkan kesedaran dan jangkauan. Tahun lepas, kami diminta untuk menyertai Program i-Tekad.

“Bagi bank digital, ia tidak boleh beroperasi secara berasingan, perkongsian yang lebih kukuh dengan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri amat penting untuk terus bergerak ke hadapan,” tambahnya.

Belanjawan 2026 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA