Sichuan Airlines Tambah Kekerapan Penerbangan Chengdu-Pulau Pinang Mulai Akhir Bulan Ini
GEORGE TOWN, 1 Okt (Bernama) -- Sichuan Airlines akan menambah kekerapan penerbangan terusnya antara Chengdu dan Pulau Pinang secara harian mulai akhir bulan ini (Oktober) dengan pelaksanaan jadual penerbangan musim sejuknya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata laluan penerbangan Chengdu Tianfu–Pulau Pinang dilancarkan pada 30 April tahun ini, menyediakan perkhidmatan lima penerbangan secara mingguan telah mencatatkan keputusan memberangsangkan.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata perkhidmatan harian itu akan disediakan dari akhir Oktober hingga Mac 2026.
"Penerbangan 3U3911 akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu Tianfu pada 7.40 malam (waktu tempatan) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 12.05 pagi keesokan harinya, manakala penerbangan 3U3912 akan berlepas dari Pulau Pinang pada 1 pagi dan tiba di Chengdu pada 5.10 pagi," katanya.
Beliau berkata pada masa ini terdapat sembilan syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan enam bandar di China iaitu Chengdu (Sichuan Airlines), Xiamen (Xiamen Airlines), Guangzhou (China Southern Airlines), Shenzhen (Shenzhen Airlines dan AirAsia), Hong Kong (Cathay Pacific dan Hong Kong Express) dan Shanghai (Juneyao Airlines dan Shanghai Airlines).
Wong berkata ketersambungan penerbangan itu secara meluas meliputi China Timur, China Selatan dan China Barat Daya, membentuk rangkaian sambungan udara yang komprehensif dan kukuh.
Beliau berkata ketika ini terdapat 61 penerbangan berjadual setiap minggu yang menghubungkan Pulau Pinang dan bandar raya China dan dengan laluan Chengdu Pulau Pinang meningkat kepada perkhidmatan harian, jumlah itu akan meningkat kepada 63 penerbangan mingguan.
“Pulau Pinang menerima 121,030 pelancong dari China melalui penerbangan antarabangsa antara Januari dan Julai tahun ini, meningkat 103.7 peratus berbanding 59,420 pengunjung dalam tempoh sama tahun lalu.
“Jika dibandingkan dengan tempoh sama pada 2023 yang mencatatkan 16,480 pengunjung, ini menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 634.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata lonjakan dalam ketibaan menunjukkan permintaan kukuh daripada pasaran China dan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang terulung.
-- BERNAMA