Pelan Hala Tuju Keluli 2035 Perkukuh Daya Saing Pembuatan Keluli Malaysia Secara Global - MISIF
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Industri Keluli 2035 (SIR2035) dirangka bagi memastikan pengeluar keluli Malaysia dapat bersaing secara berkesan bersama-sama pengeluar asing, menurut Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF).
Presidennya Roshan M. Abdullah berkata pelan hala tuju ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan bagi menangani isu-isu struktur sekali gus memastikan kelangsungan serta kelestarian industri besi dan keluli.
“Pelan hala tuju berkenaan merupakan pengiktirafan yang jelas iaitu industri besi dan keluli merupakan asas selain menjadi tunjang kepada ekonomi negara yang penting bagi pertumbuhan ekonomi serta perindustrian yang stabil.
“Ia juga menangani cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh industri terutamanya berhubung dengan amalan perdagangan tidak adil oleh pengeksport asing ke Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Roshan berkata pelan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan untuk mendengar, memahami cabaran yang dihadapi oleh industri serta keseriusan situasi yang sedang berlaku.
“Lebih penting lagi, ia menunjukkan kesediaan bagi menangani isu struktur demi memastikan kelangsungan dan kelestarian industri ini. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di atas pelancaran pelan hala tuju ini.
“Kami kini berharap agar pelan dan dasar ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang pantas,” katanya.
Pada 29 September, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melancarkan SIR2035 yang menyediakan “laluan berperingkat” bagi menstabilkan, menstruktur semula dan membuat perubahan dalam industri keluli Malaysia.
Pelan hala tuju ini menggariskan 15 strategi dengan menetapkan pendekatan berfasa bagi menangani isu lebihan kapasiti, mengukuhkan daya tahan dan memposisikan semula industri ke arah pertumbuhan mampan, seiring dengan aliran penyahkarbonan global.
Roshan berkata MISIF mengakui kepentingan menyokong matlamat kelestarian negara, namun dasar-dasar ini mesti mengambil kira cabaran khusus yang dihadapi oleh pemain industri.
"Ini bagi memastikan pendekatan yang seimbang antara objektif alam sekitar, matlamat ekonomi dan daya saing industri,” katanya.
Beliau menambah pengenalan cukai karbon juga merupakan satu langkah progresif.
Namun, kejayaan inisiatif kelestarian ini bergantung kepada beberapa faktor kritikal termasuk penubuhan peraturan yang jelas dan telus; mekanisme pelaksanaan yang terperinci; garis panduan yang komprehensif; pelan peralihan selain pelan hala tuju yang munasabah.
“Semua ini perlu bagi memastikan industri keluli bersedia menghadapi perubahan ini dan dapat menyumbang dengan berkesan kepada matlamat alam sekitar negara tanpa menjejaskan daya saingnya,” kata Roshan.
-- BERNAMA