BERITA TERKINI   Liga Super: Kuching City FC 4-0 Melaka FC | Sukan SEA 2025: Skuad ekuestrian polo negara raih pingat emas kategori 4-6 Goals | Liga Super: Imigresen FC 2-3 Terengganu FC | Liga Super: Penang FC 3-0 PDRM FC | Sukan SEA 2025: Gandingan penerjun negara Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi rangkul emas 3m papan anjal seirama lelaki | 

Megah Port Management Terima Pengiktirafan Susulan Khidmat Cemerlang Di Labuan

LABUAN, 30 Sept (Bernama) -- Pengendali pelabuhan Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) menerima pengiktirafan daripada Persatuan Penghantar Fret Labuan (LFFA) berikutan komitmen berterusan dalam perkhidmatan pengendalian kargo yang cekap dan boleh dipercayai.

Sijil penghargaan berkenaan yang diberikan kali kedua oleh persatuan yang mewakili industri penghantaran barangan di pulau ini, mencerminkan peranan MPM dalam menyokong kelancaran operasi logistik serta memperteguh kedudukan Labuan sebagai hab perdagangan penting.

Sijil itu disampaikan pada Majlis Makan Malam LFFA dan Persekutuan Penghantar Fret Malaysia baru-baru ini.

Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong berkata pengiktirafan itu menjadi pendorong kepada  syarikat untuk terus meningkatkan standard perkhidmatannya.

“Kami menghargai pengiktirafan daripada LFFA. Ini adalah satu penghormatan dan motivasi untuk kami terus berusaha menjadi lebih baik bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan dan mempertingkat kualiti operasi pelabuhan di Labuan,” katanya.

Beliau berkata MPM kekal komited terhadap inovasi dan kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pelabuhan itu terus menyumbang secara positif kepada ekonomi dan ekosistem perdagangan di pulau ini.

-- BERNAMA