BERITA TERKINI   PM Anwar ulangi seruan agar rakyat berbelanja secara berhemah meraikan Syawal  | Kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada kebankrapan secara 'fast track' sempena Aidilfitri, - PM Anwar | Diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri pada 18 dan 19 Mac - PM Anwar | FAM didenda USD50,000 (RM196,119) kerana turunkan pemain tidak layak dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 - AFC | Malaysia diisytihar kalah 3-0 kepada Nepal dan Vietnam susulan turunkan pemain tidak layak pada Kelayakan Piala Asia 2027 - AFC | 

Menteri Kewangan II Diberi Taklimat Pembangunan Strategik Labuan IBFC

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 29 Sept (Bernama) -- Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hari ini diberi taklimat mengenai kemajuan, pencapaian dan hala tuju masa depan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).

Penerangan yang diadakan sempena lawatan rasminya ke Labuan FSA itu turut merangkumi perjalanan 35 tahun pusat itu dalam usaha melengkapi ekosistem kewangan Malaysia serta potensi peluang perniagaan.

Amir Hamzah turut berbincang dengan kalangan pegawai Labuan FSA mengenai bidang pertumbuhan strategik termasuk memajukan sektor insurans melalui insurans kaptif, inovasi dalam kewangan Islam melalui tokenisasi sukuk dan pembangunan Sekolah Antarabangsa Labuan.

Ketua Pengarah Labuan FSA Affendi Rashdi berkata lawatan itu menyerlahkan komitmen kukuh kerajaan dalam meletakkan Labuan IBFC sebagai bidang kuasa yang dinamik dan pilihan utama untuk perniagaan antarabangsa.

“Kehadiran menteri mengukuhkan lagi usaha kerjasama antara Labuan FSA dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mencapai objektif strategik Labuan IBFC,” katanya kepada Bernama hari ini.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri libat urus Menteri Kewangan II bersama-sama agensi MOF di Labuan.

-- BERNAMA