BERITA TERKINI   Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naik kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Mesyuarat AEM Teguh Agenda Keterangkuman, Kemampanan Di Bawah Tonggak Ekonomi ASEAN

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memastikan agenda keterangkuman dan kemampanan di bawah tonggak ekonomi ASEAN terus diperkukuh sewaktu mengendalikan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang berlangsung minggu lepas.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata usaha berkenaan penting untuk masa depan Malaysia yang berupaya menarik pelabur, membuka peluang perniagaan dan menjana pekerjaan supaya manfaatnya dinikmati serta dikongsi semua rakyat.

“Syukur alhamdulillah, berakhir sudah minggu Mesyuarat AEM dan rakan-rakan dialog yang dipengerusikan Malaysia dengan jayanya,” katanya menerusi laman sosial X, hari ini.

Di bawah pimpinan Malaysia yang memegang Kepengerusian ASEAN 2025, Mesyuarat AEM ke-57 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan berlangsung pada 22 hingga 26 September.

Tengku Zafrul turut memberikan penghargaan kepada beberapa pihak seperti pasukan MITI, pengamal media, barisan keselamatan, para sukarelawan serta petugas di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang memastikan mesyuarat berkenaan berjalan lancar.

“Hasil usaha bersama, kita bukan sahaja menjayakan AEM 2025, tetapi turut mengangkat martabat Malaysia sebagai negara yang sentiasa bersedia memimpin, menyatukan dan mencorak masa depan rantau ini supaya Malaysia yang aman dan makmur selain dapat terus diwariskan kepada anak cucu kita,” katanya.

-- BERNAMA