BERITA TERKINI   Komuniti MADANI perlu berada di hadapan untuk benar-benar memahami keresahan rakyat dan melakukan intervensi - Fahmi | Krisis Bekalan Global: Sebarang dasar dilaksana secara berhati-hati, bersasar dan bersifat sementara - Akmal Nasrullah | Ketua Menteri Tamil Nadu, Vijay, melahirkan komitmen untuk memupuk kerjasama yang lebih erat, memperkukuh ikatan persahabatan dengan Malaysia | Orang ramai digalakkan muat turun aplikasi RTM Klik untuk menonton Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma - Fahmi | Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global dijangka boleh diakses orang awam bermula 15 Mei ini - Akmal Nasrullah | 

Rusia Mahu Pertingkat Eksport Daging Halal, Produk Tenusu Ke Malaysia

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Rusia mahu meningkatkan eksport daging dan produk tenusu yang diperakui halal ke Malaysia tahun ini sebagai sebahagian daripada strateginya untuk melonjakkan perdagangan dua hala terutamanya dalam sektor makanan dan pertanian.

Pengarah Jabatan Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia, Nikita Kondratev berkata banyak syarikat Rusia telah pun menerima pengiktirafan pensijilan halal daripada pihak berkuasa Malaysia sebagai pemboleh untuk akses pasaran yang lebih luas.

“Ini kerana kerjasama kita (Rusia dan Malaysia) dalam bidang halal, banyak syarikat di Rusia kini mempunyai pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Justeru, mungkin tahun ini kita akan mula mengeksport lebih banyak daging dan produk susu dari Rusia. Ia benar-benar mempunyai standard halal yang tinggi," katanya ketika ditemui Bernama sebelum menghadiri mesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Sebagai timbal balas, Moscow berminat untuk mengimport rangkaian produk Malaysia termasuk barangan elektronik dan pertanian, selain itu ia turut menawarkan untuk mengembangkan eksport baja dan produk farmaseutikalnya ke Malaysia, kata Nikita.

"Kami sudah bersedia untuk mengimport dari Malaysia, kami berminat dengan produk elektronik dan pertanian yang berbeza dari Rusia. Kami juga bersedia untuk mengeksport lebih banyak baja untuk pertanian dari Malaysia dan sudah tentu lebih banyak produk farmaseutikal," katanya.

Mesyuarat dua hala antara Rusia dan Malaysia itu diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan di sini hari ini, ia turut merangkumi Perundingan AEM-Rusia ke-14.

-- BERNAMA