BERITA TERKINI   Belanjawan 2026 adalah langkah permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13, yang melakar usaha pembangunan Malaysia dari 2026 hingga 2030 – Amir Hamzah | Belanjawan 2026 bakal mengukuhkan perlindungan sosial, daya tahan isi rumah dengan pelaburan menumpukan kepada semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan dan syarikat pemula niaga - Amir Hamzah | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi

Oleh K.Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini, disokong oleh peningkatan prestasi niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat untuk sesi kedua berturut-turut, dipacu oleh permintaan tayar yang kukuh di India berikutan pembaharuan cukai baru-baru ini.

Peningkatan harga getah juga dipacu oleh kebimbangan terhadap bekalan getah asli ekoran hujan yang berterusan di negara pengeluar.

“Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat dan kemungkinan berlaku banjir kilat bagi tempoh 23 hingga 29 Sept," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh data jualan kenderaan yang lemah dari China, kata peniaga itu.

“Pada Julai, China menjual 446,913 kenderaan jenis hibrid plug-in, mencatat pertumbuhan tahunan paling perlahan bagi segmen tersebut sejak Jun 2020, berikutan kelewatan penghantaran model baharu, menurut EV Volumes,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan bahawa harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 12.5 sen kepada 743.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal menambah satu sen kepada 580.0 sen sekilogram.

-- BERNAMA