Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Disebabkan Aktiviti Pengambilan Untung
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung apabila para peniaga dan pelabur memilih untuk mendapatkan keuntungan daripada kenaikan baru-baru ini, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.1985/2000 berbanding dolar AS daripada 4.1945/2040 ketika ditutup Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid bagaimanapun menjangkakan ringgit akan terus mengukuh walaupun mata wang pasaran sedang pesat membangun yang lain lebih lemah berbanding dolar AS.
Hal ini disebabkan kesan positif daripada rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang akan terus menyokong mata wang tempatan itu, katanya.
“Rasionalisasi subsidi seharusnya meningkatkan penilaian daripada agensi-agensi penarafan kredit terhadap kedudukan fiskal Malaysia.
“Ini memberi isyarat tentang komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal yang membantu mengurangkan risiko kredit berdaulat dan sepatutnya menyokong penarafan kedaulatan A3/A- semasa Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8441/8453 daripada 2.8364/8430 ketika ditutup semalam, rendah berbanding pound Britain kepada 5.6701/6721 daripada 5.6630/6758 dan rendah berbanding euro kepada 4.9546/9564 daripada 4.9390/9502 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 251.5/251.8 daripada 252.5/253.1 pada Isnin dan naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.33/7.33 daripada 7.35/7.37 semalam.
Namun, ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2724/2738 daripada 3.2688/2764 dan rendah berbanding baht Thai kepada 13.1900/2001 daripada 13.1890/2243 sebelum ini.
-- BERNAMA