BERITA TERKINI   Malaysia berhasrat bina ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berdaya saing peringkat global dan sedia hadapi masa depan - Zambry | Malaysia meletakkan pendidikan tinggi sebagai instrumen utama diplomasi dan kerjasama global - Zambry | Tarikh melihat anak bulan Ramadan pada petang Selasa, 17 Feb - Penyimpan Mohor | Ringgit melonjak kepada 3.8995 berbanding dolar AS pada Rabu, hampir cecah paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun | Rangkaian Ultra5G pamerkan keupayaan infrastruktur digital negara, jadi titik sentuhan positif pertama pelancong luar - Fahmi | 

Anak Syarikat Kelington Peroleh Kontrak Bernilai RM108 Juta Di Singapura

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) --Anak syarikat milik penuh Kelington Group Bhd (KGB), Kelington Engineering (S) Pte Ltd (KESG), memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM108 juta bagi kerja-kerja berkaitan dengan projek kilang pembungkusan canggih di Singapura.

Syarikat itu berkata kontrak tersebut merangkumi sistem paip pengedaran gas pukal untuk kemudahan tersebut yang sedang dibangunkan untuk pengeluar cip memori terkemuka global.

“Kontrak itu bernilai kira-kira SGD33 juta (bersamaan dengan kira-kira RM108 juta),” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut KGB, kerja-kerja dijadualkan dimulakan serta-merta dan akan diteruskan sehingga sijil penyiapan akhir dikeluarkan oleh pemilik projek, yang dijangkakan pada Disember 2026.

“Kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2025 dan 31 Dis, 2026,” katanya.

KGB juga berkata tiada pengarah atau pemegang saham utamanya, mahupun mana-mana orang yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu.

“Selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kontrak, syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa,” katanya. 

--BERNAMA