BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | 

Kerajaan Kumpul Data Perhutanan Negeri Untuk Diserah Kepada FAO Tahun Depan – Johari

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan sedang mengumpul data perhutanan daripada semua kerajaan negeri untuk diserahkan sebagai maklumat terkini kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pada tahun depan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani. 

Oleh itu, beliau menyeru agar semua kerajaan negeri memainkan peranan dengan menghantar data yang tepat dan terkini berkaitan aktiviti yang berlaku di hutan negeri masing-masing kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES).

“Sebuah jawatankuasa yang dianggotai (wakil) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan NRES akan bekerjasama dalam usaha mengumpul serta menyelaras data tersebut,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pakatan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Impact Alliance, di sini, hari ini.

MSPO Impact Alliance adalah platform pelbagai pemegang kepentingan yang diwujudkan bagi mengukuhkan penerajuan Malaysia dalam minyak sawit mampan. 

Johari berkata MSPO Impact Alliance membolehkan Malaysia menguji pendekatan baharu, menangani cabaran di lapangan, dan memanfaatkan inovasi yang mengukuhkan kedudukan MSPO dan Malaysia di pasaran global.

“Melalui peranannya sebagai platform berstruktur bagi kerjasama, pakatan itu menghimpun bersama kerajaan, industri, pembiaya dan masyarakat awam yang akan bersama-sama mencapai penyelesaian dan berkongsi tanggungjawab. 

"Ini mewujudkan peluang untuk inisiatif seperti sandbox kesediaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) bagi pekebun kecil, yang akan memetakan dan mendokumentasikan plot pekebun kecil untuk memenuhi keperluan EUDR sambil memastikan pekebun kecil dapat disepadukan sepenuhnya ke dalam perdagangan global," katanya menerusi ucapan beliau pada majlis pelancaran itu.

Beliau berkata sebagai medan ujian bagi inovasi, pakatan itu menyediakan struktur untuk membangunkan model baharu yang menghubungkan kemampanan dengan daya saing.

Menurutnya, sejajar dengan elemen teras MSPO mengenai perlindungan buruh dan hak asasi manusia, pakatan itu boleh merintis cara untuk mengukuhkan lagi perlindungan pekerja dengan membangunkan saluran mudah dan selamat kepada pekerja, termasuk pekerja asing, untuk menyuarakan masalah mereka.

“Pakatan itu juga boleh membuka laluan baharu bagi kemajuan alam sekitar. Strategi penanaman semula yang menyepadukan koridor biodiversiti dan penyerapan karbon boleh menunjukkan bahawa kita boleh menanam pokok kelapa sawit dan dalam masa yang sama melindungi alam semula jadi,” kata Johari.

-- BERNAMA