BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

GXBank Lancar Jaguh Niaga Bagi Bantu Perkasa 10,000 PMKS

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- GX Bank Bhd (GXBank) menyasarkan untuk memperkasakan 10,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi inisiatif Jaguh Niaga.

GXBank dalam satu kenyataan hari ini berkata program tersebut akan menawarkan pembiayaan inklusif menerusi Perbankan Bisnes GX dan akses kepada rangkaian penyelesaian digital yang sesuai bagi membantu pertumbuhan perniagaan tempatan.

Perbankan Bisnes GX ialah penyelesaian digital sepenuhnya yang memudahkan proses, menambah baik akses kewangan, dan menawarkan penjimatan pada akaun operasi dan penyelesaian pinjaman bagi perniagaan kecil. 

“Ia menawarkan Akaun GX Biz yang membolehkan perniagaan menikmati faedah harian sebanyak 1.0 peratus setahun (tambahan faedah bonus sehingga 1.5 peratus setahun bagi rakan kongsi ekosistem GXBank), tiada yuran bulanan, tiada syarat baki minimum, dan sokongan pelanggan 24/7.

“Produk lain ialah GX Biz FlexiLoan. Ia menawarkan akses segera kepada modal pertumbuhan sehingga RM150,000, tiada caj tersembunyi ke atas permohonan atau penggunaan pinjaman, dan penjimatan faedah apabila menyelesaikan pinjaman lebih lain,” kata GXBank, yang juga bank digital pertama di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi GXBank Hildah Hamzah berkata bank itu bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu bagi industri, tetapi juga melabur dalam PMKS yang menguasai lebih 95 peratus daripada ekonomi Malaysia.

“Perbankan sepatutnya tidak menjadi penghalang kepada pertumbuhan. Kami ingin mencorakkannya semula dengan memanfaatkan teknologi dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang menawarkan penyelesaian intuitif serta berkongsi semangat kami untuk membantu usahawan menjimatkan masa dan wang.

“Akhirnya, matlamat utama program Jaguh Niaga ialah membantu mereka menjadi jaguh dalam bidang mereka,” katanya. 

-- BERNAMA