BERITA TERKINI   Hak-hak negeri perlu dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan - Agong | Agong ingatkan setiap perbahasan, keputusan dan undian di Parlimen bakal menentukan masa depan negara | Sistem pendidikan baharu mesti selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bahasa Melayu diutamakan - Agong | Undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar wajar diwujudkan segera, pastikan keharmonian semua kaum dan kedaulatan negara - Agong | Bukan hanya penerima rasuah tetapi pemberi dan ejen yang bersubahat turut perlu diambil tindakan - Agong | 

Malaysia Airlines Cipta Sejarah, Penerbangan Dikendalikan Semua Petugas Wanita

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Penerbangan MH2610 Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu mencipta sejarah tersendiri apabila dioperasikan sepenuhnya oleh petugas wanita, yang melibatkan operasi di darat sehingga ke kokpit.

Setiap aspek penerbangan, daripada proses daftar masuk, jurutera, pegawai keselamatan, anak kapal dan juruterbang, dikendalikan sepenuhnya oleh wanita, sekali gus mencerminkan kecekapan, kepimpinan dan keupayaan golongan wanita dalam sektor penerbangan. 

“Dengan wanita kini merangkumi 36 peratus daripada tenaga kerja Malaysia Aviation Group, melepasi  sasaran inisiatif 25by2025 oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), pencapaian ini bukan sekadar kemajuan, ia juga satu peringatan bahawa langit bukan lagi sempadan,” kata MAS menerusi hantaran di Facebook semalam

MAS turut menyatakan harapan agar penerbangan bersejarah itu menjadi inspirasi kepada warga kerja dan generasi akan datang dalam bidang penerbangan untuk terus bercita-cita tinggi serta berani menongkah arus dan mencabar batasan sedia ada.

-- BERNAMA